Rabu, 26 Jun 2019

Bekas Hakim, Abd Rahim Akan Ketuai Pasukan Khas Siasat Laporan Suhakam Berkait Kehilangan Paksa

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dengan Abdul Rahim Uda (dua dari kanan)
yang telah dilantik untuk mengetuai pasukan petugas khas menyiasat kehilangan paksa

PUTRAJAYA: Kerajaan melantik bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda mengetuai pasukan petugas khas untuk menyiasat penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mendakwa Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis, Amri Che Mat.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, pasukan petugas khas itu diberi 6 bulan untuk menyediakan laporan mengenai kehilangan 2 individu itu.

“Seramai 6 ahli pasukan yang dilantik dan diberi masa 6 bulan menjalankan siasatan sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Dengan adanya pasukan ini, diharap dapat beri keadilan kepada semua pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Muhyiddin Yassin (depan, tengah) mengadakan sidang media di Putrajaya bersama
Abd Rahim Uda (depan, kanan), Muhd Bukhari Ab Hamid (belakang, 2 dari kanan)
dan Zamri Yahya (belakang, tengah).

Ahli lain dalam pasukan itu adalah bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM, Mohktar Mohd Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya, Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid, pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria dan setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus. 

Pasukan petugas khas Kementrian Dalam Negeri

Pada 3 April lalu, inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Koh dan Amri menyimpulkan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016, selepas keluar dari rumahnya di Kangar.

Koh didakwa menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam, dakwaan yang dinafikan keluarganya, manakala Amri dilaporkan cenderung kepada ajaran Syiah yang dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Bekas Hakim Ketuai Pasukan Khas Siasat Laporan Suhakam Berkait Kehilangan Paksa" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 26 Jun 2019)