KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie
Apdal hari ini menerima kunjungan hormat pemimpin-pemimpin Kristian dari Eropah
diketuai Penasihat Agama Kepada Ratu England, Elizabeth II iaitu Uskup Agung
Justin Portal Welby.
Mohd. Shafie menjemput Welby untuk datang ke pejabatnya
sempena kehadiran pemimpin tertinggi England itu dalam Persidangan
Gereja-Gereja Anglikan Asia Timur yang sedang berlangsung di negeri ini.
Kedua-dua pemimpin meluangkan masa selama kira-kira sejam
membincangkan beberapa perkara terutama berkaitan keharmonian antara agama di
Malaysia khususnya Sabah.
Welby ketika ditemui selepas itu berkata, beliau kagum dengan masyarakat majmuk di negeri ini serta Malaysia yang hidup dalam suasana aman dan harmoni tanpa timbul sebarang masalah.
“Kami bercakap tentang hubungan antara agama dan kepentingan
mengekalkan keharmonian sebagai perkara utama serta bagaimana pentingnya untuk
pemimpin-pemimpin agama menyokong dialog bukannya terpedaya dengan perbuatan
ekstrem,” katanya.
Welby berkata, keindahan Sabah amat menarik perhatiannya
manakala Malaysia sendiri sebagai negara berbilang kaum adalah contoh terbaik
kepada negara-negara lain di dunia tentang bagaimana caranya untuk hidup
harmoni.
“Tidak boleh dipersoalkan lagi salah satu tempat tercantik
di dunia, ini adalah negara berbilang kaum saya rasa Malaysia boleh ajar
negara-negara lain tentang bagaimana anda berjaya hidup harmoni dalam
kepelbagaian iaitu salah satu cabaran besar yang kebanyakan negara gagal.
“Malaysia pernah melalui kesukaran tetapi dengan
berani sentiasa mampu menanganinya, kepelbagaian sentiasa menjadi pedoman
semasa berjuang, persoalannya adalah bukan sama ada anda berjuang, tetapi
perjuangan itu, justeru banyak lagi yang kami perlu belajar daripada Malaysia,”
katanya.
(Diambil daripada artikel Borneo Today, "Shafie Terima Kunjungan Penasihat Agama Ratu Elizabeth II" yang dituliss oleh Rodelio Junjun Taucan bertarikh 3 Oktober 2019)