Sabtu, 10 Oktober 2020

Alkitab Telah Diterjemah Ke Dalam Bahasa Ke-700


Wycliffe Bible Translators baru-baru ini mengumumkan Alkitab telah diterjemahkan ke dalam bahasa yang ke-700. Pencapaian bersejarah ini adalah hasil daripada penterjemahan Alkitab yang dilakukan pada kadar yang lebih cepat daripada yang pernah dilakukan. Oleh kerana banyak penterjemahan sedang dilakukan pada waktu yang sama, Wycliffe melaporkan adalah "mustahil" untuk mengenalpasti manakah terjemahan yang ke-700.

Tiga terjemahan yang kemungkinan boleh dikira sebagai angka ke-700 adalah Alkitab Huichol (Wixaritari) yang dilancarkan di Mexico, Alkitab Ellomwe yang dilancarkan di Malawi, atau dua terjemahan tambahan Youversion untuk dua bahasa Nigeria, bahasa Tiv atau Alkitab Igede.

Menurut laman Wycliffe Bible Translators, kini dengan Alkitab boleh didapati dalam 700 bahasa berbeza, ianya memberikan kepada 5.6 bilion orang di sekeliling dunia akses kepada keseluruhan Perjanjian Lama dan Baharu. Tambahan kepada seluruh Alkitab yang telah diterjemahkan ke dalam 700 bahasa itu, Perjanjian Baharu telah diterjemahkan ke dalam 1,548 bahasa lain yang menjangkau tambahan 786 juta orang di sekeliling bumi.


Terdapat 3,969 bahasa yang pada waktu ini belum ada nas Kitab Suci dalam terjemahan yang mereka fahami. Secara ringkasnya, 1 orang dari 5 orang di dunia tidak memiliki Kitab Suci penuh dalam bahasa pertama mereka, kata Wycliffe. 

Pengarah Eksekutif Wycliffe Bible Translators, James Poole berkata, "Ini adalah berita yang mengujakan dan mewakili usaha gigih yang dilakukan oleh penterjemah-penterjemah Alkitab di sekeliling dunia. Setiap kali kita mendengar Alkitab diterjemahkan ke dalam satu lagi bahasa, kita tahu itu bermakna untuk pertama kalinya orang-orang dalam kelompok bahasa itu boleh sepenuhnya mengakses keseluruhan gambaran kisah Tuhan."

Poole memuji pencapaian itu dengan berkata," Itu adalah angka yang boleh dibanggakan dan akan terus bertambah," tetapi dalam kenyataan yang sama menyatakan bahawa adalah tidak adil 1.5 bilion orang belum memiliki Alkitab dalam bahasa mereka. Mujurlah, pasukan-pasukan penterjemahan Alkitab di sekeliling dunia sedang bekerja kuat untuk menyelesaikan itu. 


"Adalah mengkagumkan begitu banyak penterjemahan Alkitab sedang dilakukan sehingga kami tidak dapat mengenalpasti dengan tepat yang mana Alkitab yang ke-700," begitu dinyatakan oleh Poole. "Kita hidup dalam zaman yang mengujakan di mana visi bahawa semua orang akan dapat membaca dan mendengar Firman Tuhan dalam bahasa mereka sedang menjadi realiti." 

Baru-baru ini, keseluruhan Alkitab telah diterjemahkan ke dalam bahasa isyarat oleh Deaf Missions. Itu adalah usaha yang telah mengambil 38 tahun untuk diselesaikan dan akan memberikan 3.5 juta orang akses kepada Firman Tuhan.

(Diterjemahkan daripada artikel Church Leaders bertajuk, "The Bible Has Been Translated Into Its 700th Language" yang ditulis oleh Jesse T. Jackson bertarikh 9 Oktober 2020)