Jumaat, 19 Mac 2021

Jemaah Menteri 1986 Benarkan Penggunaan Kalimah “Allah” Secara Bersyarat, Kata Hakim


PETALING JAYA: Jemaah Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1986 membenarkan penerbitan Kristian menggunakan kalimah “Allah”, dengan syarat tertera “Hanya untuk penganut Kristian sahaja” pada muka depan bahan itu, menurut penghakiman Mahkamah Tinggi.

Hakim Nor Bee Ariffin berkata Jemaah Menteri membuat keputusan itu pada Mei 1986, dan ia dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba kepada Kementerian Dalam Negeri.

Nota Ghafar menyatakan perkataan “Allah”, “Kaabah”, “Baitullah”, dan “solat” umumnya tidak boleh digunakan oleh penganut Kristian kecuali ia memenuhi syarat-syarat tertentu.

Namun, pada 5 Dis 1986, seorang pegawai kementerian, Hassan Jantan, mengeluarkan arahan kepada semua penerbitan Kristian, bagi pihak ketua setiausaha, menyatakan mereka tidak boleh menggunakan empat perkataan itu.

Katanya, kerajaan memutuskan sedemikian bagi menjaga ketenteraman awam dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam dan Kristian.

Arahan Hassan itu juga menyatakan majlis agama negeri juga boleh menyuarakan pandangan berhubung perkara ini memandangkan Islam bawah bidang kuasa mereka.

Kemudian, bawah pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Syed Jaafar Albar (2008-2009) mengesahkan suatu afidavit yang menyokong arahan itu, bagi melarang Jill Ireland menggunakan kalimah “Allah”.

Noor Bee berkata sekiranya surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan nota Ghafar pada 1986 ditafsirkan dengan betul dan wajar, keputusan Jemaah Menteri itu tidak mengenakan larangan total ke atas pengunaan empat perkataan itu oleh penerbitan Kristian.

Sebaliknya, arahan KDN yang mengenakan larangan total itu.

Nor Bee berpandangan arahan itu adalah arahan berasingan yang dikeluarkan Bahagian Kawalan Penerbitan KDN.

Hakim berkata prosiding semakan kehakiman ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya keputusan Jemaah Menteri itu dijalankan secara betul dan wajar menerusi undang-undang yang berkenaan.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Jemaah Menteri 1986 Benarkan Penggunaan Kalimah “Allah” Secara Bersyarat, Kata Hakim" bertarikh 19 Mac 2021)