Rabu, 5 Mei 2021

Pandelela Cipta Sejarah Menang Emas Pertama Malaysia Di Kejohanan Dunia Terjun FINA


Pandelela Rinong telah mencipta sejarah dengan memenangi emas pertama Malaysia dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo hari ini.

PETALING JAYA: Pandelela Rinong mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas acara 10m platform individu di Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, sebentar tadi.

Beliau meraih 355.70 mata, sekaligus meletakkannya di tempat terunggul dalam acara tersebut.


Tempat kedua diduduki penerjun tuan rumah Matsuri Arai dengan 342.00 mata, dan Caeli McKay dari Kanada di tempat ketiga dengan 338.55 mata.

Dengan kemenangan ini, Pandelela menjadi penyumbang tunggal pingat bagi kontinjen Malaysia di kejohanan lima hari yang akan berakhir esok.


Terdahulu, seorang lagi wakil negara dalam acara berkenaan, Cheong Jun Hoong, melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam acara berkenaan selepas mara ke separuh akhir semalam, namun terkandas di pusingan tersebut.

Beliau hanya menduduki tempat ke-18 dengan 237.35 mata.

Pandelela dan Jun Hoong sedang dalam persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Selain warganet lain, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan tahniah kepada Pandelela di media sosial.

“Kejayaan ini terus menyemarakkan semangat kita semua sebelum acara yang terbesar tahun ini. So so proud of you Pandelela (sangat berbangga dengan kamu Pandelela),” kata beliau menerusi catatan di Twitter.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Pandelela Raih Emas Kejohanan Dunia" bertarikh 5 Mei 2021)