Khamis, 17 Februari 2022

Banci 2020: Peratusan Bumiputera Mencapai Hampir 70%


SHAH ALAM: Penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah antara penemuan utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020.

Katanya, daripada penemuan itu juga jumlah penduduk mengikut kewarganegaraan menunjukkan 29.8 juta atau 91.7 peratus adalah warganegara dan 2.7 juta bukan warganegara.

Populasi Malaysia mengikut kewarganegaraan

"Dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta sudah dibanci dan 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan purata saiz persendirian adalah sebanyak 3.8 peratus," katanya pada Majlis pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Banci Malaysia 2020 adalah banci yang keenam dan ia dilaksanakan melalui pewartaan Arahan Banci dan Pelantikan Pesuruhjaya Banci pada 11 Februari 2020.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah penduduk itu, seramai 52.3 peratus penduduk di Malaysia adalah lelaki manakala 47.7 peratus wanita, dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

Populasi Malaysia mengikut jantina

Katanya, Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Putrajaya, yang mana 100 wanita bersamaan dengan 96 lelaki.

"Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus, diikuti etnik Cina (23.2 peratus), India ( 6.7 peratus) dan lain-lain ( 0.7 peratus)," katanya.

Populasi Malaysia mengikut kumpulan etnik

Sementara itu, kumpulan penduduk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas direkodkan sebanyak 3.4 juta atau 10.4 peratus daripada keseluruhan penduduk.

"Jumlah itu meningkat berbanding pada tahun 2010 yang mencatatkan 2.2 juta penduduk atau 8.0 peratus.

Populasi Malaysia mengikut umur

Ismail Sabri menegaskan, penemuan Banci 2020 akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat.

"Di samping itu ini dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs)," katanya.

Beliau menjelaskan, statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan.

Populasi Malaysia - bandar dan luar bandar

"Bertitik tolak daripada maklumat yang diperoleh inilah kerajaan akan dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan bernilai berbilion ringgit Malaysia dapat dibelanjakan di seluruh negara.

"Di sinilah bagaimana kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat yang layak dan memerlukan seperti menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), termasuk golongan mudah terjejas (rentan ekonomi) dan terpinggir.

"Di sini, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.

Kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kurang upaya turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini," katanya.

Populasi Malaysia - jumlah dan saiz isi rumah

Perdana Menteri berkata, penghasilan profil yang terperinci akan digunakan membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam.

Katanya, data banci juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan perkapita, penggubalan dasar warga emas dan perancangan sosial.

(Diambil daripada artikel Berita Harian bertajuk, "Penduduk Malaysia Kini 32.4 Juta" yang ditulis oleh Rohaniza Idris bertarikh 14 Februari 2022)

----------------------