Jumaat, 18 November 2022

Muhyiddin Kaitkan PH Dengan Agenda Yahudi, Kristian


Calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia.

Muhyiddin membuat dakwaan itu semasa majlis Ceramah Mega PN Best di Parit Jawa, Johor pada Rabu, 16 Nov.

Dia adalah penceramah terakhir pada malam itu, selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurut Muhyiddin, ada sekumpulan Yahudi dan Kristian yang merancang untuk mengambil alih Malaysia.

“Bagi saya ini bahaya. Apakah bermakna akan berlaku proses Kristianasasi? Kita dah dengar cerita ini bukan?

“Di Kuala Lumpur dan di Petaling Jaya, kalau ada gereja hari Ahad, ada juga orang-orang Melayu pergi sana. Rupanya dah masuk Kristian.

“Itu saya tak fikir berkembang dengan pesat sebab sebahagian besar kita adalah orang Islam. Tetapi agenda puak-puak dan kaum-kaum seperti ini adalah niat mereka adalah untuk mengambil alih Malaysia satu daripada koloni dia.

“ Itu adalah strategi jangka waktu panjang. Mungkin kita tidak lihat ini pada waktu ini tetapi mungkin tidak berapa lama lagi kalau kita tidak berhati-hati dan berjaga-jaga,” katanya.

Klip video Muhyiddin membuat dakwaan tersebut telah dikongsi oleh pengguna Tiktok @phan.fizs semalam dan ditonton sekurang-kurangnya 605,800 kali.

@phan.fizs Awas agenda kristianisasi, kita jangan lalai...mereka dh lama merancang! #abah #undiPN #PNbest ♬ bunyi asal - PHan fiz

Video lengkap majlis tersebut dimuat naik di laman Facebook Perikatan Nasional Johor.

Sementara itu, Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) menyatakan rasa "terkejut" terhadap dakwaan Muhyiddin itu.

Mereka juga menggesa pihak berkuasa supaya bertindak bagi mengelakkan kenyataan seperti itu berulang.

“Kenyataan ini bukan sahaja tidak benar tetapi tidak bertanggungjawab oleh seorang ahli politik sepertinya untuk membuat kenyataan sedemikian kepada orang ramai dan ditonton secara meluas di media sosial.

“Kita hidup dalam negara berbilang agama dan kaum dan sensitiviti setiap masyarakat perlu diambil kira ketika berucap di forum awam.

"Kenyataan sedemikian, yang dilafazkan secara sembarangan, mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan ketegangan dan persengketaan kaum dan agama," kata setiausaha agung CCM Jonathan Jesudas.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Muhyiddin Kaitkan PH Dengan Agenda Yahudi, Kristian" bertarikh 18 November 2022)