Laporan itu dibuat Pengarah Strategi PH, Bryan Ng dan
Pengarah Komunikasi Pemuda PKR, Syaril Showkat Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Dang Wangi.
Dalam laporannya, Ng berkata, petikan ucapan Muhyiddin dalam
ceramah baru-baru ini tular di TikTok. Bekas perdana menteri itu dipercayai
membuat dakwaan itu dalam sebuah ceramah di Parit Jawa, Johor, pada 16 Nov
lalu.
“Muhyiddin kata mengundi PH berbahaya kerana PH menaja
gerakan Yahudi dan terdapat (agenda) Kristianisasi di Malaysia,” menurut
laporannya.
Ng berkata, kenyataan Muhyiddin itu adalah dakwaan berunsur
fitnah dan tidak berasas yang menyentuh sensitiviti agama.
Dalam sidang media di luar IPD Dang Wangi, beliau menggesa
Muhyiddin menyerahkan bukti kepada polis, jika benar PH dikaitkan dengan
gerakan sedemikian.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan memfailkan saman sivil
terhadap Muhyiddin.
Dalam rakaman sebuah ceramah di Johor pada Khamis, Muhyiddin
mendakwa sekumpulan Yahudi mahu PH menang esok dan mendakwa PH bekerjasama
dengan Yahudi dan orang Kristian untuk “menjajah” negara.
Dalam rakaman tular itu, bekas perdana menteri terbabit
turut mendakwa ada orang Melayu ke gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya
pada Ahad.
Majlis Gereja-gereja Malaysia membidas Muhyiddin atas
dakwaan itu, manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti itu
bercadang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin.