Selasa, 20 Januari 2026

Mahkamah Mendeklarasikan Seorang Lelaki Berusia 76 Tahun Adalah Kristian


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan suatu deklarasi yang dipohon oleh seorang lelaki berusia 76 tahun, mengesahkan statusnya sebagai Kristian. 

Hakim Amarjeet Singh membuat keputusan bahawa Stanley Pinto @ Yakob Md Nor, yang telah dilahirkan di luar nikah kepada Abdul Ghani Md Nor dan Susan Pinto, telah mengamalkan agama Kristian sepanjang hidupnya.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Stanley untuk deklarasi bahawa dia akan diberikan pengebumian Kristian, menurut tatacara gereja Roman Katolik. 

"Hak milik Stanley akan ditadbirkan di bawah Akta Pengagihan 1958 dan Akta Wasiat 1969," kata Amarjeet, yang keputusan secara lisannya telah dibaca oleh penolong pendaftar Firdaus Sidqi. 

Pihak-pihak yang berkenaan telah diberitahu lebih awal bahawa Amarjeet tidak dapat secara peribadi menyampaikan keputusannya, kerana telah dipanggil untuk mengambil tempat sebagai hakim di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini. 

Dalam permohonan asalnya yang telah difailkan pada 2023, Stanley berkata dia telah dilahirkan sebagai anak luar nikah di Kerian, Perak pada 26 November 1949.

Dia berkata bahawa ibunya, Susan tidak pernah masuk Islam, dan bahawa tiada perkahwinan Muslim dilangsungkan di antara Susan dan Gani.

Stanley berkata dia tidak pernah bertemu dengan Gani, dan ibunya tidak pernah menyebut mengenainya. 

Dia berkata bahawa dia adalah anggota Gereja Katolik, dan tidak pernah menjadi Muslim. 

Dia berkata bahawa dia telah dibaptis di sebuah gereja Roman Katolik di antara usia tujuh dan 12 tahun, dan telah mengikuti misa dengan ibunya dan juga telah mengikuti kelas-kelas agama Katolik. 

Stanley berkata dia telah menerima perjamuan kudusnya yang pertama pada usia 9 tahun, dan telah dikonfirmasikan pada usia 18 tahun. 

Dia berkata pada tahun 2002, hak berperlembagaannya di bawah artikel 11(1) - yang menjamin kebebasan beragama menurut pilihan seseorang - telah dilanggar apabila Jabatan Pendaftaran Negara telah memberikan kepadanya kad pengenalan yang dicatit dengan perkataan "Islam".

Aston Paiva telah mewakili Stanley manakala peguam senior persekutuan Shahidah Nafisah Leman telah mewakili kerajaan persekutuan. 

Peguam Joy Wilson Appukuttan telah mewakili Bishop Besar Roman Katolik Kuala Lumpur, manakala peguam Hasnan Hamzah telah mewakili kerajaan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor. 

Paiva memberitahu FMT selepas keputusan mahkamah bahawa dia akan menulis kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalan Stanley.

(Diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Court Declares 76-Year Old Man 'Christian'" yang ditulis oleh V Anbalagan bertarikh 19 Januari 2026)