Dalam menyampaikan penghakiman sebulat suara mahkamah, Hakim
Azimah Omar yang kini hakim Mahkamah Persekutuan berkata Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur telah terkhilaf apabila menolak saman Yeoh pada tahun 2024.
“Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dalam keputusannya
ketika menolak saman Hannah.
"Kami membenarkan rayuan ini dan memerintahkan agar
keputusan beliau diketepikan," kata Azimah yang bersidang bersama-sama
Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Choo Kah Sing dan Shahnaz Sulaiman.
Mahkamah turut memerintahkan Musa supaya membayar ganti rugi
RM250,000 dan kos RM60,000 kepada Yeoh,.
Ahli Parlimen Segambut itu memfailkan saman berkenaan pada
tahun 2020 selepas Musa pada satu forum di Universiti Teknologi Mara mendakwa
bahawa bukunya yang bertajuk 'Becoming Hannah' bertujuan menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara Kristian.
Selain itu Yeoh yang ketika itu adalah menteri belia dan
sukan juga dituduh mempunyai hubungan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi untuk
menjejaskan agama Islam serta Malaysia, dan mengutamakan kepentingan peribadi
berbanding negara.
Yeoh dalam autobiografi antara lain menceritakan
perjalanannya sebagai seorang wanita Malaysia biasa yang hidupnya diubah
melalui kepercayaan Kristiannya, yang kemudiannya membawanya ke dalam politik.
Selain peguam Lim Wei Jiet, pemimpin DAP itu turut diwakili
peguam, Razlan Hadri Zulkifli, S Ambiga dan Sangeet Kaur Deo manakala Musa
sebagai responden diwakili peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak
saman Hannah selepas mendapati beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa
sebagai fitnah.
