Selasa, 16 Mei 2023

Isu Kalimah Allah: Kerajaan Kaji Arahan Lebih Menyeluruh


Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji dan mengemas kini arahan yang lebih menyeluruh dalam usaha menangani isu berkaitan penggunaan kalimah “Allah” dan tiga perkataan lain dalam penerbitan berkaitan agama.

Perkataan lain yang terlibat ialah "baitullah", "solat" dan "kaabah".

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, keperluan untuk mengkaji semula perkara itu adalah selaras dengan kepentingan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, serta mewujudkan penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan penerbitan yang melanggar peruntukan akta undang-undang.

“Sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut memperhalusi dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh kabinet pada 19 Mei 1986 dan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan oleh KDN pada 5 Disember 1986.

“Oleh yang demikian, KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani is penggunaan kalimah ‘Allah’, ‘baitullah’, ‘solat’, dan ‘Kaabah’ agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia serta penilaian dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan-bahan penerbitan yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan ini hadir susulan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan berhubung keputusan membenarkan bukan Islam Sarawak Jill Ireland, menggunakan perkataan "Allah".

Notis tidak meneruskan rayuan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk tujuan agama dan pendidikan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah dibuat dengan menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran iaitu isu berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah ‘Allah’.

“Ini kerana, fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal-ehwal berkaitan agama secara spesifik.

“Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ serta ianya didapati konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014.

“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayan tersebut adalah dibuat mengikut case-by-case basis; tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” katanya.

Tambahnya, langkah yang diambil kerajaan untuk mengkaji dan mengemaskini perkataan-perkataan tersebut dibuat dengan tujuan untuk memberi perhatian kepada aspek ketenteraman awam selaras dengan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan bahawa kebebasan beragama tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan.

“Di kesempatan ini, KDN ingin menyatakan komitmen terhadap pencegahan penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap bahan penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

KDN juga menegaskan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan walaupun setiap individu itu berhak menganut dan mengamalkan agamanya, namun dia masih tertakluk kepada undang-undang persekutuan atau negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.

Perkara 11 (1) menyatakan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4).

Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: “Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Isu Kalimah Allah: Kerajaan Kaji Arahan Lebih Menyeluruh" bertarikh 16 Mei 2023)