TVS dalam satu kenyataan bersama Unit Hal Ehwa Agama-Agama Lain (UNIFOR) hari ini berkata, program itu akan disiarkan menerusi TVS pada 23 Disember.
“Mengenai catatan terbaharu di media sosial berhubung
dakwaan pengecualian lagu 'O Holy Night' daripada program Krismas kami yang
akan datang, kami ingin menjelaskan bahawa silap komunikasi telah berlaku dalam
kalangan pihak yang terlibat dalam program itu.
“Adalah penting untuk diketengahkan bahawa penganjur tidak
berniat untuk mengecualikan lagu tersebut daripada program itu, malah
sebenarnya mereka sedang berusaha untuk memasukkan lagu terbabit dan sedang
bersungguh-sungguh menyediakan semua elemen yang diperlukan untuk
persembahannya,” katanya.
Terdahulu, difahamkan Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS)
telah menolak jemputan TVS untuk menyertai program Krismas saluran televisyen
itu minggu depan selepas ia menolak permintaan persatuan itu untuk menukar
salah satu lagu.
ACS berkata, permintaan tersebut tidak dapat ditunaikan
dengan alasan terdapat elemen keagamaan dan juga berikutan protokol daripada
daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM).
Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda Parti Rakyat Bersatu
Sarawak (SUPP) terkejut dan kesal apabila lagu Krismas dijadikan sebagai satu
isu oleh pihak tertentu.
Ketua Pemuda SUPP Datuk Michael Tiang berkata, lebih
mengejutkan perkara sedemikian tidak pernah berlaku selama ini, sama ada di
peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ASC) hanya memohon untuk
menukar lagu ‘Jingle Bell Rock’ dengan ‘O Holy Night’ namun ditolak kerana
dikatakan ada elemen keagamaan.
“Kami sangat terkejut, sejak bila lagu Krismas menjadi isu
dan tidak dibenarkan untuk disiarkan.
“Krismas adalah perayaan agama seperti Deepavali dan Hari
Wesak dan apabila kita mengundang gereja untuk program meraikan Hari Krismas,
kita perlu meghormati cara mereka meraikan Hari Krismas dengan menyanyikan lagu
Krismas,” ujarnya pada sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi
Fadzil hari ini berkata SKMM tidak terlibat dalam keputusan TVS mengenai
pemilihan lagu Krismas untuk program itu.
Menurut Fahmi, program tersebut adalah berbentuk rakaman dan
tidak memerlukan kelulusan SKMM.
Justeru, SKMM tidak terlibat dalam proses membuat keputusan
tersebut, katanya menerusi catatan di laman sosial media X yang dahulunya
dikenali sebagai Twitter.