Khamis, 19 Disember 2013

Utusan Malaysia: Kumpulan Menyebarkan Agama Bukan Islam Menggunakan Buku Dan Komik

Buku komik "Isa Al-Masih Kalimatullah" (gambar akhbar Utusan Malaysia, 18 Disember 2013)

KUALA LUMPUR, Dis 18 - Muda-mudi Melayu sedang menjadi sasaran oleh sebuah kumpulan bukan Islam yang menggunakan komik dan bahan bacaan percuma yang banyak menggunakan kata "Allah" begitu didakwa oleh laporan Utusan Malaysia hari ini. 

Akhbar harian berbahasa Melayu itu juga mendakwa bahawa ini mengesahkan kebimbangan masyarakat Islam tempatan bahawa perkataan Arab yang menjadi tumpuan utama polemik antara Islam dan Kristian akan disalahgunakan, dengan secara tidak langsung merujuk kepada kebimbangan yang telah disuarakan bahawa akidah masyarakat itu akan terjejas oleh penggunaan kata "Allah" oleh orang bukan Islam.

"Tanpa sebarang rasa bersalah, kumpulan itu menjadikan Melayu dan Islam sebagai sasaran," kata laporan Utusan Malaysia itu, sambil menjelaskan bahawa adalah kesalahan di Malaysia untuk orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.

Menurut akhbar itu, kumpulan bukan Islam yang dikatakan itu, telah mengedarkan bahan bacaan yang mengandungi tafsiran dari sebuah kitab suci yang menggunakan kata "Allah". 

Buku-buku itu, yang menurut akhbar itu banyak menggunakan kata "Allah", juga merujuk kepada Nabi Isa - seorang nabi dalam Islam - mengikut kepercayaan kumpulan itu. 

Kumpulan itu juga didakwa memberikan buku komik yang mengisahkan kehidupan Nabi Isa, kata Utusan Malaysia, yang menjelaskan bahawa ianya secara tidak langsung bercanggah dengan Al-Quran, buku suci orang Islam.

Buku komik itu tidak memberikan nama penerbitnya di muka depan komik tetapi sebaliknya mengandungi catitan mengenai Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang meliputi kebebasan beragama, tambah akhbar harian berbahasa Melayu itu. 

Walaupun begitu akhbar itu gagal untuk mengenalpasti kumpulan atau agama yang didakwa telah disebarkan. 

Sebaliknya, Utusan Malaysia hanya mengatakan bahawa ianya percaya kumpulan itu dipimpin oleh seorang lelaki yang dikatakan warga Amerika yang fasih berbahasa Melayu, dan beberapa orang tempatan dari Sabah.

Utusan Malaysia mendakwa bahawa kumpulan itu telah mendekati pemuda-pemudi di Shah Alam, ibu negeri Selangor minggu lepas, tetapi mengatakan bahawa kumpulan itu sudah bergerak aktif sejak awal tahun ini.

Kebebasan beragama di Malaysia dijamin di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak rakyat Malaysia untuk menganuti dan mengamalkan kepercayaan mereka, tetapi penyebaran agama kepada orang Islam boleh disekat atau dikawal oleh undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan untuk wilayah persekutuan.

Enakmen Agama-Agama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran Agama Kepada Orang Islam) 1988 yang berkuatkuasa di beberapa negeri termasuk Selangor misalnya, melarang penyebaran agama selain Islam kepada masyarakat Islam.

Laporan hari ini oleh Utusan Malaysia adalah yang terbaru mengenai topik itu daripada akhbar berbahasa Melayu itu, sementara agama-agama di negara ini meneruskan perbahasan mengenai hak orang-orang bukan Islam untuk menggunakan kata "Allah" yang dianggap oleh sebahagian orang Islam di Malaysia sebagai eksklusif kepada Islam.

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk "Utusan: Group Enticing Muslims Using Comics, Books With 'Allah'" penulisan Ida Lim bertarikh 18 Disember 2013)