Selasa, 24 Disember 2013

10 Kesilapan Yang Orang Biasa Lakukan Semasa Menetapkan Matlamat (Goal-Setting)



Oleh Michael Hyatt:

Jika anda sepertiku, anda sudahpun memikirkan tentang tahun hadapan. Bagaimanakah ianya akan berbeza dari tahun ini? Apakah yang mungkin terjadi? Apakah yang aku ingin capai?

Sudah tiba waktunya untuk memikirkan dan menetapkan matlamat (goal-setting) untuk 2014.

Aku tidak tahu mengenai anda, tetapi aku telah melakukan amalan tahunan ini sejak semester keduaku di kolej, apabila seorang kawan memperkenalkan konsep itu kepadaku. Hampir serta-merta, aku suka konsepnya dan melihat potensinya.

Tetapi aku tidak selalu melakukannya dengan baik. Aku membuat banyak kesilapan dalam perjalananku. Aku juga melihat ramai orang yang melakukannya dengan tidak berkesan.

Berikut ialah sepuluh kesilapan paling kerap yang aku lihat orang biasa lakukan apabila membuat penetapan matlamat (goal-setting):

1. Mereka tidak menuliskannya. Sekiranya sesuatu matlamat itu tidak dituliskan, ianya hanya sekadar hasrat - tidak bernyawa dan tidak memiliki kuasa. Sekali anda menuliskannya, anda memulakan sesuatu proses. Anda telah menjelaskan apa yang anda ingin dan mula menumpukan bagaimana untuk mencapainya. 

2. Mereka meletakkan terlalu banyak matlamat. Perumpamaan Cina mengatakan, "Orang yang mengejar dua arnab tidak akan mendapat apa-apa." Anda kemungkinan perlu lebih daripada satu matlamat, tetapi anda perlu dapat memberi fokus kepada jumlah matlamat yang boleh diurus. Aku mengesyorkan jangan lebih daripada 7-10. 

3. Mereka hanya menetapkan matlamat untuk satu aspek kehidupan. Kebanyakan orang terbiasa dengan idea menetapkan matlamat kerjaya. Tetapi kehidupan itu jauh melebihi kerjaya anda. Jika anda ingin bahagia dan mencapai kepuasan hidup, anda perlu matlamat dalam setiap aspek utama dalam hidup - rohani, jasmani, rumahtangga, perhubungan dan sebagainya. 

4. Mereka tidak membuat matlamat yang khusus. Kebanyakan matlamat - termasuk juga matlamat bertulis - gagal kerana bersifat terlalu umum. "Aku mahu menulis buku" atau "Aku inginkan rumahtangga yang lebih baik" adalah terlalu umum. Apakah buku yang anda ingin tulis? Bagaimanakah anda ingin memperbaiki lagi rumahtangga anda?

5. Mereka tidak membuat matlamat yang boleh diukur. Satu-satu cara untuk tahu bahawa anda telah mencapai sesuatu matlamat ialah meletakkan suatu angka kepadanya. "Kurangkan berat sebanyak 10 kilogram" lebih baik daripada "kurangkan berat." "Menjana pendapatan 10% lebih daripada tahun sebelumnya" lebih baik daripada "menjana lebih pendapatan." Apabila kurang pasti, letakkan suatu angka ataupun suatu peratusan.