Imej asal dari laman YouTube Renungan Anak Tuhan |
Baru-baru ini saya telah diminta berdebat samada "Kristian Progresif" (selepas ini dirujuk sebagai KP) adalah "agama lain" (maksudnya sebuah agama yang lain daripada Kristian) berdasarkan kenyataan-kenyataan bersifat kritikal yang telah saya buat sebelum ini mengenai apa yang digelarkan sebagai versi "progresif" iman kita.
Masalahnya adalah profesor yang telah mengundang saya untuk berdebat mentakrifkan KP berbeza dengan saya.
Hakikatnya, dia menyangkal takrifan saya mengenai KP adalah betul.
Pendek kata, saya telah mendakwa bahawa golongan KP yang saya pernah berinteraksi dengan telah mendukung kesahihan "perkahwinan" sama jantina, menyokong "hak" wanita untuk menggugurkan bayi dalam kandungan, dan menyangkal bahawa keselamatan diperoleh secara eksklusif menerusi Yesus.
Mengenai profesor itu, manakala dia tidak menjelaskan pandangannya mengenai "perkahwinan" sesama jantina dan pengguguran bayi, dia telah menjelaskan bahawa KP tidak menyangkal bahawa keselamatan diperolehi secara eksklusif menerusi Yesus.
Siapakah di antara kami betul (mengenai takrifan KP)?
Ianya bergantung kepada siapakah orang-orang KP yang anda bercakap dengan dan bagaimana anda mentakrifkan KP. Sesetengah mereka adalah lebih ortodoks (berpegang pada kepercayaan tradisi) daripada yang lain. Tetapi mereka yang telah berinteraksi dengan saya adalah kurang ortodoks dalam kepercayaan mereka, yang telah membawa kepada kritikan kuat daripada saya.
Akhirnya, saya menolak undangan debat itu - walaupun saya suka berdebat - hanya kerana soal takrifan. Ianya seperti berdebat mengenai adakah saya tinggi (saya hampir 6' 3"). Berbanding kebanyakan orang, ya; berbanding pemain NBA secara purata, tidak. Soalnya adalah bagaimana kita mentakrifkan tinggi.
Dengan cara yang sama, soalnya di sini adalah bagaimanakah kita mentakrifkan KP.
Untuk lebih jelas, izinkan saya merujuk kepada beberapa takrifan KP yang menyokong fahaman saya mengenai istilah itu.
Ianya mudah, tentunya, untuk mencari penggambaran KP yang negatif dan bertentangan daripada laman-laman web yang kritikal mengenai KP.
Antara contohnya adalah White Horse Inn, yang mencatitkan bahawa "Kristian Progresif adalah gerakan yang sedang menyusupi dan mempengaruhi gereja Evangelikal. Beberapa pemimpin Kristian berprofail tinggi adalah sebahagian daripadanya. Gerakan ini berusaha untuk mentafsirkan semula Alkitab, menilai semula doktrin-doktrin yang bersejarah, dan untuk mentakrifkan kembali kepercayaan-kepercayaan asas iman kita. Meskipun mereka mendakwa diri mereka 'Kristian,' dan memegang pandangan tinggi terhadap Alkitab, ianya telah menyangkut ramai orang Kristian yang tidak mengesyaki apa-apa ke dalam pandangan palsu mengenai Allah dan bagaimana Dia menyelamatkan manusia."
Begitu juga laman Got Questions, manakala mengingatkan agar tidak menyapu semua ke dalam satu bakul, menyatakan bahawa "kebanyakan orang-orang Kristian progresif tidak sebati dengan prinsip-prinsip Kristian."
Ada juga sesetengah penulis yang mengatakan mengenai KP dalam ruang lingkup yang sangat lebar, seperti laman Contemplative Life, yang menyenaraikan Marcus Borg dan John Hick sebagai di antara pemimpin-pemimpin KP, sarjana-sarjana liberal yang jelas terkeluar dari garis iman Kristian yang bersejarah.
Tetapi bagaimana pula daripada mulut golongan KP sendiri? Apakah yang mereka katakan?
Menurut United Church of Christ di Beaverton, Oregon, KP telah bermula sebagai gerakan pada 2006, sebagai "alternatif kepada iman Kristian seperti yang telah dinyatakan dalam arena awam."
Kenyataan itu meneruskan, "Pemimpin-pemimpin Kristian Progresif sudah menjadi penat dalam mentakrifkan iman Kristian mereka dengan istilah bersifat negatif: 'Kami bukan golongan fundamentalis (berpegangan asasi). Kami tidak percaya Alkitab adalah firman Allah yang tiada kesilapan dan tiada kesalahan. Kami tidak bersetuju ajaran Penciptaan dalam Kejadian harus menggantikan ajaran sains evolusi di sekolah-sekolah awam. Kami tidak percaya bahwa Allah membenci orang-orang homoseksual. Kami tidak percaya orang-orang daripada iman kepercayaan lain akan pergi ke neraka kecuali mereka masuk Kristian. Kami tidak menyangkal hak wanita untuk memilih apa yang berlaku atas tubuh mereka." (Penekanan bahagian-bahagian ayat adalah daripada mereka sendiri).
Walaupun dikatakan sebegitu, laman web yang sama ini menyatakan dengan jelas bahawa mereka sebenarnya dan sesungguhnya mendukung kenyataan-kenyataan negatif itu. Lihat, sebagai contoh, kenyataan iman mereka yang kedua: "IMAN KRISTIAN ADALAH CARA KAMI UNTUK SETIA KEPADA ALLAH, TETAPI IANYA BUKANLAH SATU-SATUNYA CARANYA."
Dengan cara yang sama, laman web St. Andrew Presbyterian Church yang dikhususkan untuk mentakrifkan "Lapan Perkara Mengenai Kristian Progresif" menawarkan ini untuk perkara nombor 2 dalam senarai itu: "Mengesahkan bahawa ajaran Yesus memberikan hanya salah satu jalan untuk mengalami Kesucian dan Keesaan dalam kehidupan, dan bahawa kita boleh mendapat dari pelbagai sumber hikmat untuk perjalanan rohani kita."
Nombor 3 adalah: "Carilah komuniti yang melibatkan SEMUA orang, yang termasuk tetapi tidak terhad kepada orang-orang Kristian biasa dan orang-orang yang meragui dan mempersoalkan, Orang-orang percaya dan orang-orang yang tidak memiliki apa-apa kepercayaan, Wanita dan lelaki, Mereka yang dari semua jenis orientasi seks dan identiti jantina, Mereka yang dari semua kelas dan kebolehan."
Begitu juga, berkenaan pengguguran bayi dalam kandungan, sebuah artikel 2019 dalam The Atlantic menjelaskan mengapa sesetengah pastor progresif mendukung hak pengguguran bayi dalam kandungan.
Dan apakah yang laman web Progressive Christianity memberitahu kita? Tersenarai dalam lembaga KP adalah pemimpin-pemimpin seperti Rev. Mark Sandlin, "seorang pastor yang ditahbiskan dalam Gereja Presbyterian (USA)." Dia adalah seorang pendukung yang lantang menyokong hak-hak LGBTQ, dan menggelarnya "sesuatu yang Kristian harus sokong."
Laman web itu juga mempunyai pautan-pautan kepada senarai yang serupa "Lapan Perkara Mengenai Kristian Progresif" seperti yang telah disebut di atas.
Dengan berdasarkan senarai-senarai seperti di atas dan pemimpin-pemimpin seperti ini, saya telah memberikan kritikan-kritikan saya.
Pendek kata, KP, seperti ditakrifkan oleh sesetengah pemimpin-pemimpinnya, menyangkal autoriti penuh Alkitab (dengan menyatakan ianya bukan firman Tuhan yang tiada kesalahan). Ianya menyangkal bahawa keselamatan dan penebusan dari dosa datang hanya dari salib Yesus. Ianya mendukung kesahihan "perkahwinan" sama jantina. Dan ianya mendukuhg "hak" wanita untuk memilih menggugurkan bayi dalam kandungan.
Dan dengan itu, ianya mungkin memanggil dirinya "Kristian", ianya mungkin berpegang pada banyak usaha yang baik berdasarkan ajaran Yesus yang beretika, ianya mungkin juga mendedahkan hal-hal yang tak disedari dan kegagalan di kalangan orang-orang Kristian konservatif. Tetapi ianya tidaklah, dengan sendirinya "Kristian." Ianya telah maju melebihi (dan keluar) daripada Firman Allah.
Bagi mereka yang mentakrifkan KP secara berbeza daripada ini, saya secara hormat memohon agar anda menyatakan dengan jelas takrifan anda, seperti dalam suatu kenyataan doktrin. Dengan cara ini, kita boleh tahu di mana kita berbeza dan di mana kita bersetuju.
(Diterjemahkan daripada artikel The Line of Fire bertajuk, "What Is 'Progressive Christianity'?" yang ditulis oleh Michael Brown bertarikh 18 Julai 2022)