GEORGE TOWN: Seorang wanita Katolik yang menukar agamanya kepada Islam empat tahun lalu diisytihar sebagai tidak sah oleh Mahkamah Tinggi.
Wanita berusia 21 tahun yang berasal dari Sabah itu memeluk
agama Islam pada 2020 ketika berusia 17 tahun untuk berkahwin dengan teman
lelakinya yang beragama Islam, tetapi mereka bercerai beberapa bulan kemudian.
Hakim Quay Chew Soon dalam keputusannya berkata, pertukaran
agama itu bertentangan dengan undang-undang Islam Pulau Pinang yang memerlukan
kebenaran kedua-dua ibu bapa sekiranya kanak-kanak bawah umur mahu memeluk
agama Islam.
Quay berkata, kerana wanita itu masih di bawah umur ketika
itu dan tiada kebenaran ibu bapa menyebabkan pertukaran agamanya tidak sah
sejak awal.
“Beliau di bawah umur 18 tahun ketika menukar agama. Ini
adalah penting. Saya membenarkan pengisytiharan yang dimohon,” katanya.
Quay juga mengisytiharkan pertukaran agama wanita itu yang
didaftarkan di pendaftar mualaf Pulau Pinang pada 11 Jun 2020 sebagai tidak
sah.
Beliau juga mengeluarkan arahan certiorari untuk membatalkan
sijil pertukaran agama Islam dan semua dokumen berkaitan.
Quay juga mengarahkan maklumat wanita itu di dalam pendaftar
muallaf Pulau Pinang dikeluarkan dan mengisytiharkan wanita itu kekal sebagai
pengikut kepercayaan Katolik.
Tiada sebarang arahan berkaitan kos dikeluarkan mahkamah.
Menurut semakan kehakiman yang difailkan, pelayan berusia 21
tahun dari Keningau itu mendakwa beliau memeluk agama Islam di pejabat
Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa di Jalan Argyll pada 11 Jun 2020,
ketika berusia 17 tahun.
Ibu bapa wanita itu, petani di Keningau, memfailkan afidavit
menegaskan bahawa anak mereka mengamalkan ajaran Katolik dan dibaptiskan di
Gereja St Francis Xavier di Keningau pada 2005. Katanya, mereka tidak pernah
memberi kebenaran kepada anak mereka untuk memeluk Islam.
Wanita itu menamakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan
pendaftar muallaf Pulau Pinang sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.
Dia diwakili peguam Shamsher Singh Thind dan J Gunamalar
manakala MAINPP diwakili Abd Daud Abd Rahim dan Dayang Roziekah Ussin.
Pendaftar mualaf Pulau Pinang diwakili Timbalan Pendakwa
Raya Naizatul Zima Tajudin dan Charanjit Mahinder Singh.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Pengislaman Wanita Sabah Tak Sah" oleh Predeep Nambiar bertarikh 16 April 2024)