Khamis, 11 April 2024

Reinhard Bonnke Berkhutbah Di Sebuah Disko


Oleh Penginjil Reinhard Bonnke:

Saya telah dijemput untuk berkhutbah di sebuah gereja di Kimberly (di Afrika Selatan), dan sedang berkhutbah di situ pada hari Jumaat malam. Saya telah dijemput untuk berkhutbah pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Saya berkhutbah pada Jumaat malam kepada lebih kurang dua ratus orang, kebanyakan mereka adalah orang tua. Maksud saya, ketara betul, kebanyakannya orang-orang tua. 

Pada penghujung kebaktian itu. saya ada seorang kawan di situ, di Kimberley, dia tanya saya, "Mahukah kamu tahu di manakah semua orang-orang muda?" dan saya kata  "Ya, saya ingin tahu."

Dia berkata, "Masuklah kereta saya, dan saya akan tunjuk kamu." Saya memasuki keretanya dan dia memandu melalui kota itu dan dia memberhentikan kereta di hadapan sebuah bangunan yang besar. Saya melihat keluar tingkap kereta dan melihat lampu-lampu yang bersinar-sinar, "Disko, Disko, Disko". Saya sudah boleh mendengar muziknya.

Dia berkata lagi, "Mari, saya akan tunjukkan kamu di mana anak-anak muda di kota ini." Saya tidak pernah pergi ke disko (Tuhan tentu larang!) tetapi dia berkata, "Mari, kalau kamu mahu lihat." Saya mengikutinya dan memasuki bangunan itu. 

Melihat ke dalam Dewan Disko

Dalam bangunan itu ramai orang muda. Saya membuka pintu dewan tarian dan melihat ke dalam dan saya melihat cahaya lampu yang berkilauan dan berkelip-kelipan. Saya melihat anak-anak muda sedang menari seolah-olah sedang dirasuk Iblis, maksud saya tarian yang gila-gila dan muziknya begitu kuat, muzik yang teruk. 

Saya melihat dan melihat, tiba-tiba Roh Kudus menyentuh mata saya, dan di bawah lampu yang samar-samar itu, saya melihat wajah anak-anak muda itu, anak-anak remaja. Dan saya melihat mereka sedang mencari sesuatu yang mereka tidak dapat cari di disko itu. Saya terharu, hati saya tergerak. Saya berkata, "Oh Tuhan, mereka sedang mencari tetapi tidak dapat menemukan." 

Saya menoleh ke belakang, dan kawan saya ada di belakang saya. Saya berkata, "Kamu kenalkah tuan punya disko ini?" 

Dia berkata, "Ya." 

Saya berkata, "Bawa saya berjumpa dengan tuan punya disko ini." 

Dia bertanya, "Untuk apa?"

Saya berkata, "Saya mahu bercakap denganya untuk mengizinkan saya bercakap dengan anak-anak muda ini selama lima minit."

Kawan saya berkata, "Dia tak akan izinkan kamu."

Saya berkata, "Mari kita cuba. Mari kita cari dia." 

Kami mencari dan menjumpainya. Kawan saya memperkenalkan kami.

"Izinkan saya lima minit"

Saya berkata, "Tuan, saya telah datang jauh dari Jerman, saya mahu minta izin berbicara dengan anak-anak muda ni selama lima minit, hanya lima minit." 

Dia memandang saya dari kepala sampai ke kaki, dia pasti dengan segera sudah menyedari siapa saya dan dia berkata kepada saya, "Kamu mahu berbicara dengan anak-anak muda ini, pergilah khutbah kepada mereka di gereja."

Saya berkata kepadanya, "Anak-anak muda ini tak pergi ke gereja, itulah sebabnya pengkhutbah datang ke disko," saya berkata kepadanya, "Saya merayu berilah saya lima minit."

Dia berkata, "Tidak, tidak," lalu berpaling dan mula berjalan dari situ. 

Pada detik itu juga, Roh Kudus berkata kepada saya, "Beritahu dia apa yang Aku telah tunjukkan kepadamu sewaktu melihat ke dalam dewan tarian." Saya mendapatkan tuan punya disko itu, menyentuh bahunya.

Saya berkata, "Tuan, satu kali lagi, adakah tuan benar-benar percaya bahawa anak-anak muda ini dapat mencari di disko ini apa yang mereka perlukan dalam hidup?" 

"Pelik juga kamu katakan ini"

Tuan punya disko itu berubah, wajahnya berubah. Dia berkata, "Pelik juga kamu katakan ini, saya telah fikirkan banyak kali apa yang mereka perlukan dalam hidup, saya tidak dapat berikan."

Tetapi saya berkata, "Saya tahu Siapa dapat berikan, tolong berikan saya lima minit."

Dia berkata, "Baiklah, bukan hari ini, tapi esok hari Sabtu malam, tepat tengah malam saya bagi kamu pentas untuk lima minit."

Saya begitu gembira sekali. Saya keluar dari disko itu, saya berkata, "Tuhan, esok tengah malam adalah kesempatan bagi-Mu, kesempatan yang begitu baik untuk-Mu bekerja."

Pada hari Sabtu malam, saya berkhutbah di gereja. Saya tak tahu apa yang telah saya khutbahkan, mungkin orang-orang di situ pun menyedarinya. Fikiran saya sudah di disko. Saya tidak beritahu mereka apa-apa, mungkin mereka akan menghalau saya dari gereja! 

Berkhutbah 12 Tengah Malam Di Disko

Selepas kebaktian itu, saya menyalin pakaian, untuk memakai pakaian yang biasa. Pada 11.30 malam, saya sudah pergi ke disko dan bila saya tiba di situ, ianya lebih penuh sesak lagi, benar-benar penuh sesak dengan orang-orang muda. Dan saya berfikir, "Lagi ramai, lagi bagus." 

Saya menunggu di situ sehingga tengah malam, dan tepat dua belas tengah malam, saya melonjak bangun, berlari ke dalam dewan, melonjak ke atas pentas, mengambil mikrofon dan berkata, "Anak-anak muda, duduklah, duduklah. Saya telah datang dari Jerman untuk memberithu kamu sesuatu yang amat mustahak."

Dan mereka semua duduk. Barulah saya perasan tiada kerusi dalam dewan tarian itu, jadi mereka semuanya duduk di lantai. Dan kemudian saya mula menyampaikannya. Saya bercakap dengan mereka mengenai Yesus yang telah datang untuk mencari dan menyelamatkan orang-orang yang terhilang, dan Dia telah mencurahkan darah-Nya yang begitu berharga untuk menyucikan kita daripada dosa-dosa kita, memusnahkan segala kutukan, mematahkan segala ketagihan, memberi makna dalam hidup, dan memberikan hidup kekal dalam Yesus Kristus

Saya berbicara satu minit, dua minit, dua setengah minit, dan saya sudah tidak menyedari waktu lagi, tetapi tiba-tiba ada suatu suasana senyap, Roh Kudus ada di situ, saya boleh beritahu kamu, dan dengan tiba-tiba anak-anak muda itu mulai tersedu-sedu, saya lihat sapu tangan dikeluarkan di seluruh tempat, mereka mengesat air mata mereka, dan saya membuat panggilan mimbar, "Siapa mahu menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka" dan semua tangan diangkatkan. Saya hanya boleh katakan saya lihat semua tangan diangkatkan. 

Saya  mengucapkan doa keselamatan bersama dengan mereka. Tempoh lima minit saya sudah selesai. Saya meninggalkan tempat itu dengan kegembiraan bagaikan terapung-apung di awan. Saya berkata, "Terima kasih Yesus. Engkau hanya perlukan enam hari untuk mencipta bumi, dan Engkau telah menyelamatkan disko itu dalam masa lima minit, Engkau benar-benar Tuhan."

"Saya ada kejutan untuk kamu"

Setahun kemudian, saya kembali ke kota yang sama. Di lapangan terbang, kawan saya menyambut saya, dan berkata kepada saya, "Reinhard, saya ada suatu kejutan untuk kamu. Masuklah dalam kereta." 

Dia memandu saya ke dalam kota dan tiba-tiba saya fikir saya dapat cam tempat itu. Saya berdiri di hadapan bangunan lama disko itu. Saya berdiri di situ dan saya menggosok mata saya sebab saya tidak dapat percaya apa yang saya lihat. Tidak ada lagi tanda-tanda besar disko yang memancar dari bangunan itu tetapi ada satu salib di dinding bangunan itu. 

Kisahnya ialah disko itu, oleh kerana kekurangan pelanggan telah pun muflis. Anak-anak muda itu telah mengambil alih bangunan itu dan menjadikannya rumah Tuhan. Apabila saya memasuki bangunan itu, di situlah anak-anak muda itu. Mereka memanggil-manggil saya. Seorang berkata "Bonnke, ingatkah saya? Saya dulu adalah pemain dramnya." Seorang lagi berkata, "Ingatkah saya, saya yang menjaga lampu." Saya tidak ingat apa yang mereka lakukan tapi yang saya tahu ialah Yesus telah melakukan suatu pekerjaan kasih kurnia yang sungguh ajaib. 

Itu adalah bagi saya, salah satu pengalaman paling ajaib yang pernah saya alami dalam seluruh hidup saya.

(Diterjemahkan daripada video YouTube Midmanic bertajuk, "Bonkke Tells the Story of Disco" bertarikh 18 Mac 2009)