Selasa, 21 Oktober 2014

"Gereja China Mengasihi Yesus, Israel dan Negara-Negara Arab"



Semasa Persidangan Israel-China Kingdom Destiny baru-baru ini (ditaja bersama oleh Maoz dan Revive Israel), kami mendapat penghormatan bertemu dengan Zhang Fuheng, salah satu daripada lima "bapa" gereja di rumah (house church) di China. Berikut ialah petikan daripada perkongsiannya: 

Bahagian 1 - Kesaksian

Pada tahun 1979, aku jatuh sakit dengan teruk. Aku tidak dapat bergerak, hanya mulutku sahaja yang dapat bergerak. Aku menangis hampir setiap hari; sehingga aku mengutuk hari kelahiranku dan memikirkan untuk membunuh diri. 

Terdapat sedikit sahaja orang Kristian di China pada waktu itu. Seorang lelaki Kristian yang tinggal di sebuah kampung yang agak jauh, telah dirampas anak perempuan kembarnya untuk dijual kepada perhambaan. Apabila dia datang untuk mencari anak-anak perempuannya (tetapi tidak menjumpai mereka), dia mendengar mengenai penyakitku dan datang untuk menyampaikan "berita baik" keselamatan denganku. Pada ketika itu, aku mendapat harapan baru dalam hatiku. 

Aku mula berdoa untuk disembuhkan. Aku berdoa siang dan malam selama seminggu. Tiada apa-apa yang kelihatan berlaku. Pada satu pagi, aku terjaga dan melihat selimutku di lantai dan menyedari bahawa aku pasti sudah bergerak. Aku duduk, bangkit dari katil dan turun ke tingkat bawah. Semua orang terkejut. Setiap orang di rumah menerima Tuhan. 

Pada minggu berikutnya, kami membuka rumah untuk memberitahu orang apa yang telah berlaku. 200 orang datang termasuk orang-orang Kristian dari kampung-kampung sekeliling. Daripada kumpulan itu, 60 orang dari kampung kami menerima Tuhan, dan sebuah gereja di rumah (house church) telah bermula di rumah kami dalam masa sehari. 

Kami langsung tidak memiliki Alkitab. Ada seorang dari kampung lain meminjamkan "Alkitab"nya kepadaku selama sebulan, yang merupakan sebahagian sahaja Perjanjian Baru, dengan beberapa bukunya kehilangan. Aku tidak tahu apa yang harus dibuat, jadi aku menyalin dengan tangan Alkitab yang telah diberikan kepadaku, sebelum aku perlu mengembalikannya. 

(Baru-baru ini, 40 tahun kemudian, dua anak perempuan kepada lelaki yang pertama menyampaikan Injil kepadaku telah ditemui, dan keluarga mereka telah disatukan kembali).

Bahagian 2 - Gereja-Gereja Di Rumah (House Churches)

Pada tahun 1949, Mao Tse Tung telah memerintahkan semua misionari dan pedagang asing untuk meninggalkan negara. Pemimpin-pemimpin Kristian tempatan dipenjarakan. Tahun-tahun 1949 ke 1979 adalah waktu yang gelap dengan banyak penderitaan. Orang menangis dan berdoa. Pada 1979, Pengerusi Baru, Deng Xiaopeng, memulakan "Dasar Pintu Terbuka," dan mengizinkan sebahagian bisnes dan perdagangan untuk kembali. 

Pada waktu itu ada dua jenis gereja: gereja-gereja yang berdaftar dengan kerajaan (gereja-gereja "three-self"), dan gereja-gereja yang tidak berdaftar, terutamanya di kampung-kampung. Kami di kampung-kampung tidak dapat memahami gereja-gereja yang berdaftar. Struktur mereka kelihatan asing dan seperti cara Barat kepada kami, dan tidak Alkitabiah. Kami tidak tahu apa nak buat; kami cuma mula membaca Kisah Para Rasul. Di situ kami menemukan segala jawapannya. Kami merasakan bahawa gerakan baru gereja-gereja di rumah sedang memulihkan tradisi kerasulan yang asli. (Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, telah banyak terjalin semula hubungan antara gereja-gereja berdaftar dan tidak berdaftar). 

Kami percaya pada Kisah Para Rasul 1:8 untuk menerima kuasa dan menjadi saksi dari Yerusalem hingga ke hujung bumi. Kami mengalami api rohani, penyembuhan dan pengusiran iblis. Aku menjelajah ke banyak kampung, memberikan kesaksianku. Dalam masa tujuh tahun, aku telah memulakan 200 gereja dengan sejumlah 30,000 ahli.

Pada 1983, berlaku rentetan penganiayaan baru yang intensif. Aku tidak dapat tinggal di kampungku selama lima tahun, dengan hanya sekali-sekala menyelinap masuk pada waktu malam untuk mengunjungi ibu-bapaku. Orang-orang Kristian yang lebih tua telah tercerai-berai dan dianiaya. Kesengsaraan begitu menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka, sehingga orang-orang Kristian yang lebih muda yang belum pernah dipenjarakan mula berdoa, "Tuhan, mengapakah aku tidak dipenjarakan? Adakah aku berdosa? Adakah sesuatu yang tidak betul denganku?"

Pemimpin-pemimpin Kristian di kampung-kampung dipukul, ditembak dan digantung; ramai daripada mereka telah dipenjarakan berkali-kali; wanita-wanita ditelanjangi. Isteriku sering mengatakan mengenaiku, "Suamiku memiliki karunia rohani untuk dipenjarakan." Kebanyakan pastor tidak memiliki Alkitab atau latihan.

Seperti mana Injil mula merebak di kala penganiayaan selepas kematian Stefanus yang pertama mati untuk imannya (Kisah Para Rasul 8:1), begitu juga berlaku kepada kami. Pada 1979, terdapat 700,000 orang Kristian di China. Pergerakan gereja di rumah (house church movement) kami telah bertumbuh ke angka 70 juta orang percaya. Itu adalah pertumbuhan 100 kali lipat. 

Bahagian 3 - Kembali Ke Yerusalem (Back to Jerusalem)

Gereja China adalah yang terbesar di dunia; sisa Israel yang percaya Masihi adalah yang terkecil. Namun kami memandang anda sebagai "abang" kami. Rasul-rasul yang asal adalah akar di mana terpancarnya semua dahan-dahan. Kami kembali kepada kamu. Kita tidak "kehilangan harapan" kerana kita adalah satu dalam keluarga Yesus. 

Mengapakah orang-orang Yahudi mengalami begitu banyak kesengsaraan dalam sejarah? Anda merupakan mukjizat. Pemulihan Israel adalah satu perbuatan Tuhan; dan begitu juga pemulihan sisa Israel yang percaya pada Masihi. Ramai pelancong China datang ke Israel dan apabila mereka melihat apa yang telah berlaku, menjadi orang-orang yang percaya kepada Yesus.

Pada awal 1920an telah terjadi kebangunan rohani yang awal di China. Orang-orang Kristian yang awal itu telah mendapat visi untuk membawa Injil kembali dari hujung bumi (China) ke Yerusalem. Mereka menyerahkan diri kepada "gerakan kembali ke Yerusalem" (back to Jerusalem movement). Mereka merasakan bahawa mereka telah menerima kehidupan yang kekal oleh orang-orang Yahudi dan ingin mengembalikan rahmat yang sama kepada mereka. 

Jadi sekumpulan besar mereka telah mula berjalan kaki mengarah Yerusalem, pertamanya ke bahagian paling timur China. Tetapi pada tahun1949, setelah Komunis mengambil alih kuasa, sempadan-sempadan China ditutup ketat. Oleh kerana mereka tidak dapat meninggalkan negara, mereka telah mendirikan perkampungan di Wilayah Xin Jiang berdekatan sempadan.

Orang-orang Kristian muda ini berdoa untuk berdekad-dekad akan visi ini. Mereka menjadi tua. Apabila pastor-pastor kami mendapat visi yang sama, kami pergi untuk bertemu mereka. Ramai daripada mereka sudah meninggal dunia. Kami memberitahu para tua-tua yang bertemu dengan kami, "Kuatkan semangatmu. Kami akan pergi ke tanah Arab dan Yerusalem." Mereka menangis dan memeluk kami dan berkata, "Sekarang, Tuhan, hamba-hamba-Mu siap kembali kepada-Mu." 

Gereja China mengasihi Yesus, mengasihi Israel dan mengasihi negara-negara Arab. Pada hari ini, kami di sini memelukmu. Seperti matahari yang terbit di Timur, begitu juga kebangunan rohani ini akan kembali ke Yerusalem. 

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk "The Chinese Church Loves Jesus, Israel and Arabs" bertarikh 21 Oktober 2014)