Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad berkata, dalam tempoh
sama, komposisi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun atau kumpulan umur bekerja
kekal pada 70.4 peratus.
Menurut beliau, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas pula meningkat daripada 8.0 peratus pada 2025 kepada 8.4 peratus pada tahun ini.
Beliau berkata, perubahan komposisi penduduk itu turut
menyaksikan 12 negeri mencapai status negeri menua, iaitu negeri yang mempunyai
penduduk berumur 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada
keseluruhan penduduk.
Menurutnya, Perak kekal merekodkan komposisi penduduk warga
emas tertinggi iaitu 10.8 peratus, manakala umur penengah penduduk Malaysia
meningkat kepada 31.7 tahun berbanding 31.3 tahun pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan sama, Siti Asiah berkata, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan meningkat kepada 34.4 juta orang pada 2026 berbanding 34.2 juta orang pada tahun lalu dengan kadar pertumbuhan penduduk kekal 0.5 peratus.
Beliau berkata, jumlah penduduk warganegara meningkat
daripada 30.8 juta kepada 31.0 juta, manakala kadar pertumbuhan penduduk bukan
warganegara kekal negatif pada -0.2 peratus.
"Selangor kekal mencatatkan peratusan penduduk
tertinggi pada 2026 dengan 21.7 peratus, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah
(11.0 peratus)," katanya.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya
masing-masing merekodkan peratusan penduduk terendah iaitu 0.3 peratus dan 0.4
peratus.
Di peringkat negeri, Terengganu merekodkan kadar pertumbuhan
penduduk tertinggi iaitu 1.2 peratus, diikuti Kelantan (1.0 peratus), Selangor
(0.6 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.6 peratus) dan Pahang (0.6
peratus).
Dari segi komposisi umur mengikut negeri pula, Wilayah
Persekutuan Putrajaya mencatatkan peratusan penduduk berumur 0 hingga 14 tahun
tertinggi iaitu 31.4 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
merekodkan komposisi penduduk umur bekerja tertinggi sebanyak 76 peratus.
Malaysia turut mencatat nisbah tanggungan keseluruhan
sebanyak 42.0 pada 2026 berbanding 42.1 pada tahun sebelumnya, didorong oleh
penurunan nisbah tanggungan umur muda, manakala nisbah tanggungan umur tua
terus meningkat.



