Konsert itu merupakan sebahagian daripada jelajah Asia 2026
yang bakal singgah di Kuala Lumpur pada 9 September sebelum diteruskan ke
beberapa bandar utama lain termasuk Surabaya, Singapura, Cebu dan Manila.
Persembahan di Kota Kinabalu dijangka menjadi detik
bersejarah untuk peminat di Malaysia Timur selepas lebih tiga dekad Hillsong
Worship menghasilkan lagu-lagu penyembahan yang digunakan di gereja-gereja di
seluruh dunia.
Menurut Hillsong Worship, setiap penganjuran persembahan
mereka bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya menjadi platform untuk
menyatukan masyarakat melalui muzik dan mesej harapan.
“Kami tidak berkumpul sekadar menyanyikan lagu. Kami
berkumpul untuk mewujudkan ruang di mana hati terbuka, harapan dipulihkan dan
ribuan kisah berbeza bersatu menjadi satu suara,” kata kenyataan Hillsong.
Lagu-lagu mereka yang berteraskan ajaran kitab suci dan
disampaikan menerusi melodi kontemporari diterjemahkan ke pelbagai bahasa serta
dinyanyikan di ribuan gereja di seluruh dunia, sekali gus menjadikan Hillsong
Worship antara nama paling berpengaruh dalam muzik penyembahan moden.
Penganjuran konsert di Kota Kinabalu dijangka menarik
kehadiran pengunjung dari Brunei, Indonesia, selatan Filipina dan Sarawak
memandangkan kedudukan strategik ibu negeri Sabah itu sebagai hab pengangkutan
serantau.
Mengulas pengalaman yang ingin dibawakan kepada para
hadirin, Hillsong Worship berkata detik paling bermakna bukan terletak pada
persembahan pentas semata-mata, sebaliknya semangat kebersamaan yang terhasil
melalui muzik.
“Apabila muzik berhenti menjadi tumpuan, yang tinggal
hanyalah ribuan orang asing menyanyikan lirik yang sama dan merasai denyut
harapan yang sama,” kata Hillsong.
Konsert Hillsong Worship Nights Asia Tour 2026 di Malaysia
dianjurkan oleh Star Planet, manakala tiket kini boleh didapati menerusi
platform my.book.myshow.com.


