Isnin, 15 Disember 2014

Biskop Tuntut Polis Johor Pulang Buku, Bantah Gangguan Berterusan Terhadap Kristian

Biskop Paul Tan (dua dari kiri) dan paderi Cyril Mannayagam (paling kiri)

Gereja Katolik mahu buku agama mengandungi kalimah 'Allah' yang dirampas polis Johor pada Jumaat lepas dipulangkan dan membantah perbuatan menjadi-jadi pencabulan berterusan terhadap penganut Kristian di Malaysia.

Biskop Katolik Gereja Diocese Johor-Melaka Paul Tan berkata polis perlu memulangkan 31 naskhah buku yang disita daripada Paderi Cyril Mannayagam yang bertujuan untuk digunakan Orang Asli Kristian.

"Saya membantah campur tangan polis, soal siasat tanpa alasan mereka terhadap paderi kononnya kerana menjadi ancaman kepada keselamatan negara, dan tidak memulangkan buku kami," kata Tan dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

"Ini adalah suatu gangguan besar-besaran terhadap orang Kristian walaupun dengan pelbagai jaminan daripada perdana menteri dan Kabinetnya,” kata salah seorang pegawai gereja utama Malaysia itu.

Rakan sejawatannya di Archdiocese of Kuala Lumpur dan Penang menunggu keputusan permohonan mereka untuk merayu keputusan mahkamah di Putrajaya yang melarang gereja menggunakan kalimah Allah dalam mana-mana penerbitan.

Pada 5 Disember, kenyataan Cyril direkodkan polis di Ledang, Tangkak dan 31 naskhah buku agamanya dirampas.

Buku berkenaan bertajuk "Kepujian Kepada Tuhan Allah", adalah untuk Orang Asli di bawah seliaannya di Gereja St Andrew, Muar.

Polis Johor berkata keputusan sama ada semua buku berkenaan akan dikembalikan atau tidak terpulang kepada Pejabat Peguam Negara.

Tan mempersoalkan bagaimana perbuatan fotostat buku untuk digunakan masyarakat Katolik Orang Asli di Bekok, Tangkak boleh dianggap sebagai "ancaman" yang memerlukan campur tangan polis.

"Polis tidak hanya menyoal Cyril di kedai fotostat, dia turut dibawa balik ke balai polis dan disoal siasat," katanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Penolong Pesuruhjaya Dennis Lim semalam memberitahu The Malaysian Insider ia adalah prosedur biasa bagi kenyataan direkodkan dalam siasatan dan menafikan polis “menahan” paderi itu.

Lim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.

"Sehingga kini, pihak berkuasa agama yang menjalankan tindakan sia-sia, sombong dan sangat mengganggu terhadap Kristian," kata Tan.

Beliau menekankan Artikel 11, 3A Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap agama di Malaysia berhak menguruskan perihal mereka sendiri.

"Dan itu adalah apa yang berlaku dengan buku berkenaan. Ia adalah bagi kegunaan dalaman untuk perkhidmatan Katolik," kata Tan.

Beliau berkata ia merupakan satu fakta yang diketahui terdapat berpuluh ribu penganut Kristian Bumiputera yang bekerja di Semenanjung Malaysia.

"Johor mempunyai salah satu peratusan tertinggi penduduk Sabah dan Sarawak. Kami juga mempunyai masyarakat Katolik Orang Asli sejak lebih 100 tahun lalu,” katanya.

Tan berkata upacara perkhidmatan dan doa tertentu bagi Katolik adalah di dalam Bahasa Malaysia kerana ia bahasa yang digunakan mereka.

"Satu bahagian penting dalam ibadah dan doa kami adalah untuk menyanyikan puji-pujian, yang secara logik, adalah dalam Bahasa Malaysia dan termasuk kalimah Allah.

"Ia tidak munasabah untuk terus membenarkan mereka yang perlu, untuk mempunyai Bible dalam Bahasa Malaysia tetapi mereka tidak boleh meneruskan aspek lain ibadat mereka dalam bahasa kebangsaan.

"Ia adalah sama seperti memberitahu kita menyanyi lagu pujian kami dalam bahasa Inggeris, Tamil atau Cina, walaupun jemaah dan paderi akan menggunakan Bahasa Malaysia," katanya.

Cyril memberitahu The Malaysian Insider dalam satu laporan semalam bagaimana dia berulang kali memberitahu polis buku itu untuk digunakan bagi sambutan Krismas akan datang untuk kira-kira 100 ahli Orang Asli.

Polis mendapat maklumat terhadap buku itu selepas Cyril menghantar satu salinan buku untuk difotostat di sebuah kedai buku di seberang jalan ibu pejabat polis Ledang di Tangkak.

Beliau berkata, apabila kembali empat jam kemudian, dua anggota polis menunggunya.

Peristiwa ini berlaku selepas penemuan cap amaran pada lebih 300 salinan Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada Pertubuhan Bible Malaysia awal tahun ini di Selangor dan diserahkan kepada penganut Kristian Sarawak, baru-baru ini.

Amaran itu mengatakan Alkitab tidak boleh diguna atau diterbitkan di mana-mana saja di Selangor mengikut enakmen Islam negeri yang melarang penggunaan perkataan Arab tertentu daripada digunakan oleh bukan Islam.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Biskop tuntut polis Johor pulang buku, bantah gangguan berterusan terhadap Kristian" bertarikh 15 Disember 2014)