Khamis, 22 Januari 2015

Uskup Agung Bimbang Keputusan Herald Buka Ruang Kekang Agama Minoriti

Uskup Agung Emeritus Tan Sri Murphy Pakiam (kanan) dan Uskup Agung Emeritus Anthony Soter
(kiri) di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam. - Gambar The Malaysian Insider

Gereja Katolik bimbang keputusan Mahkamah Persekutuan semalam dalam isu kalimah Allah boleh menjadi permulaan untuk mengekang hak minoriti menguruskan agama mereka sendiri.

Uskup Agung Kuala Lumpur yang baharu Julian Leow berkata, walaupun beliau bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, keputusan itu bukanlah tidak dijangka.

“Saya ingin percaya keputusan buruk ini hanya termaktub kepada Herald dan bukan menjadi permulaan bagi mengekang hak minoriti untuk menguruskan agama sendiri.

“Kepada Tuhan kami terus berdoa dan percaya terdapat cahaya kepada kegelapan ini,” katanya kepada The Malaysian Insider melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong semalam sebulat suara menolak permohonan gereja bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya bagi kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Herald.

Peguam gereja, Datuk Dr Cyrus Das berkata semalam, isu yang dibangkitkan di Mahkamah Persekutuan semalam tidak akan berakhir kerana ia boleh dibangkitkan dalam kes lain pada masa akan datang.

Katanya, isu seperti hak minoriti dalam Perlembagaan dan kuasa menteri dalam negeri masih boleh dibangkitkan di mahkamah menerusi kes yang lain.

“Terdapat isu perundangan lain yang tidak diketengahkan dan ia boleh dibawa dalam kes yang lain,” katanya.

Pengarang Herald Paderi Lawrence Andrew yang mengakui ruang untuk akhbar mingguannya untuk menggunakan kalimah Allah sudah tertutup berharap hak minoriti mengamalkan kepercayaan mereka akan dibela suatu hari nanti.

“Ini merupakan kes Perlembagaan penting tentang hak seseorang mengamalkan kepercayaan dan untuk hidup secara harmoni.

“Sekarang kita berharap untuk ke arah hidup secara aman dan harmoni pada masa sama berdoa hak minoriti tidak akan dinafikan.

“Kita juga berdoa dan berharap akan ada sinar di kemudian hari,” katanya.

Hari ini, kes sama melibatkan penganut Kristian Sarawak Jill Ireland yang dirampas 8 cakera padat (CD) kerana mempunyai kalimah Allah oleh Kementerian Dalam Negeri akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Putrajaya memohon penangguhan kepada arahan Mahkamah Tinggi pada Julai lalu yang mengarahkan CD tersebut dipulangkan kepadanya. 

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Uskup Agung Bimbang Keputusan Herald Buka Ruang Kekang Agama Minoriti" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 22 Januari 2015)