Selasa, 24 Februari 2015

Pelajar Yang Didakwa Tukar Agama Akan Berpindah Ke Sekolah Dengan Asrama Katolik Minggu Ini

Dengan bantuan beberapa orang yang berbudi, Jilius Yapoo telah hampir memastikan tempat
untuk kesemua empat anaknya di sebuah sekolah baru, hampir 40 minit dari sini,
dalam arah yang bertentangan dari rumahnya di Papar.

KOTA KINABALU, 23 Feb - Dalam usaha mengekalkan ikatan kekeluargaannya dalam iman Kristian, penoreh getah, Jilius Yapoo akan memindahkan anak perempuannya yang berumur 16 tahun yang didakwa menukar agama ke Islam tanpa pengetahuannya dan tiga lagi anaknya ke sekolah baru selewat-lewatnya hujung minggu ini. 

Dengan bantuan beberapa orang yang berbudi, Jilius sudah hampir memastikan tempat untuk kesemua anaknya, berumur di antara 13 hingga 16 tahun. ke SMK Tusn Fuad Stephens di Kiulu, lebih kurang 40 minit dari sini dalam arah yang bertentangan dari rumahnya di Papar. 

"Kami sedang berusaha untuk menyiapkan perpindahan itu. Ianya sekolah kerajaan tetapi asrama itu dikendalikan oleh rahib-rahib Katolik. 

"Kami masih perlukan ibu-bapa untuk menulis surat kepada sekolah, tetapi sekolah telah dihubungi, dan ianya hampir siap dilaksanakan," kata Michael Frederick. presiden pertubuhan bukan kerajaan Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (Agaras) memberitahu Malay Mail Online hari ini ketika dihubungi. 

Menurut Michael yang telah mengetuai usaha membantu Jilius, perpindahan itu dimungkinkan dengan bantuan beberapa ahli politik yang tidak ingin dinamakan. 

Dia menambah bahawa penaja-penaja juga telah menawarkan untuk membantu Jilius dengan yuran sekolah keempat-empat anaknya termasuklah perbelanjaan pengangkutan yang sudah bertambah. 

"Kami sedang berusaha untuk menyiapkan segala urusan dan membawa semua anak-anak sekolah itu berpindah ke asrama itu selewat-lewatnya minggu ini," katanya.

Kisah Jilius telah diketahui umum awal bulan ini selepas dia membuat laporan polis mendakwa anak perempuannya telah ditukar agama ke Islam semasa di asrama sekolah di SMK Kinarut.

Pelajar itu, yang asalnya dari gereja Sidang Injil Borneo, dilaporkan telah mengucapkan kalimah syahadah untuk mengisytiharkan penerimaannya akan Islam dan telah memakai tudung, tanpa pengetahuan ibubapanya. 

Adalah didakwa bahawa kejadian itu disaksikan oleh bekas warden asrama yang kini telah dipindahkan ke sekolah lain di negeri itu, semasa pelajar itu tinggal di asrama tersebut.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Jame Alip telah menyatakan bahawa SMK Kinarut dan guru terbabit tidak bersalah, dengan mendakwa bahawa pelajar itu telah meminta untuk memeluk Islam atas keinginannya sendiri. 

Mengikut undang-undang, agama seorang yang di bawah umur ditentukan oleh ibubapanya. Di bawah undang-undang agama, mengucapkan kalimah syahadah sudah mencukupi untuk menjadikan seseorang Muslim, tetapi tidak di bawah perlembagaan, yang menyatakan bahawa anak di bawah umur memerlukan persetujuan ibubapanya. 

Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman telah mengesahkan bahawa pelajar itu, meskipun telah mengucapkan kalimah syahadah, dan memakai tudung, tidak secara rasminya Muslim kerana tiada dokumen sokongan yang rasmi.

Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking berkata Jilius masih sedang menimbangkan tindakan undang-undang ke atas sekolah kerana tidak menghormati haknya sebagai bapa untuk membuat keputusan atas agama anaknya.

"Kami juga ingin meminta agar identiti warden sekolah itu diumumkan untuk dipertanggungjawabkan dan untuk memastikan hal yang sama tidak berlaku lagi," katanya.

Menurut Michael, gadis itu yang merupakan anak kedua dalam lapan adik beradik, masih sedang memakai tudung di tempat umum.

"Bapanya, bagaimanapun mengatakan bahawa gadis itu kini bersetuju untuk perpindahan sekolah walaupun pada mulanya menentang," katanya, dengan menambah bahawa semua adik-beradik yang lain senang hati untuk berpindah sekolah.

(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online yang bertajuk "'Converted' Student To Move To School With Catholic Hostel This Week" penulisan Julia Chan bertarikh 23 Februari 2015)