Isnin, 2 Mac 2015

Pelajar Sabah Masuk Islam Tidak Sah Kerana Bawah Umur, Kata Peguam

Undang-undang di mahkamah sivil memerlukan kebenaran ibubapa bagi individu bawah
umur yang mahu menukar agama, kata peguam perlembagaan M Kula Segaran.
- Gambar fail The Malaysian Insider 

Undang-undang memutuskan di mahkamah sivil, kebenaran ibu bapa diperlukan apabila individu bawah umur memeluk Islam, menurut peguam Perlembagaan M Kula Segaran, ketika mengulas mengenai kes pelajar 16 tahun di Kinarut, Papar yang bertukar kepada agama Islam di sekolah tanpa kebenaran ibu bapanya yang beragama Kristian.

Beliau berkata demikian berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh dalam kes guru tadika M Indira Gandhi, di mana mahkamah memutuskan penukaran agama oleh hanya pihak suami, seorang pemeluk agama Islam Riduan Abdullah, bagi 3 kanak-kanak 6-17 tahun tidak sah di sisi undang-undang.

Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. 

Difahamkan pelajar itu tinggal di asrama kerana bapanya, penoreh getah Jilius Yapoo tidak mampu membayar kos ulang alik ke sekolah.

Dia mendapati anaknya sudah memasuki Islam dan memakai tudung apabila melawatnya selepas mendengar laporan anaknya sudah memeluk Islam.

Guru yang dikatakan bertanggungjawab atas penukaran agama itu sudah pun berpindah ke sekolah lain di Sabah dan tidak didapati bersalah selepas mengatakan pelajar itu memeluk Islam secara sukarela.

Kula Segaran, yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, ada juga kes diputuskan di Mahkamah Rayuan yang hanya mahkamah syariah boleh membuat keputusan mengenai perkara berkaitan pihak berkuasa Islam.

Oleh itu, katanya, dalam kes melibatkan pelajar Sabah ini, disebabkan dia seorang bukan Islam dan di bawah umur sebelum proses memeluk Islam, Mahkamah Syariah tidak punyai bidang kuasa terhadapnya.

"Lebih-lebih lagi, tiada rakyat Malaysia yang boleh berfikir akan percaya pelajar itu pergi ke sekolah dan menukar agama secara sukarela.

"Jabatan Pendidikan Negeri sepatutnya berhenti menganggap ini bukan satu isu, mereka patut ambil tindakan untuk mendisiplinkan mereka yang menukar agamanya," katanya.

Kula Segaran juga menyatakan rasa bimbangnya jika kes ini hanya sebahagian kecil daripada masalah besar di mana ramai lagi pelajar sekolah yang ditukar agamanya tetapi tidak diberi perhatian kerana ibu bapa mereka terlalu miskin atau tidak mampu membawa kes ke hadapan atau mengambil tindakan.

"Tidak mengapa jika ibu bapa mereka memberi kebenaran anak bawah umur mereka ditukar agama ke Islam, tetapi jika mereka tidak tahu ia berlaku, ini menjadi masalah," katanya.

"Ibu bapa di kawasan perkampungan tiada pilihan selain membenarkan anak mereka duduk di asrama sekolah.

"Mereka menghantar anak ke sekolah supaya mendapat pendidikan, bukan untuk ditukar agama," katanya.

Menurut peguam Nizam Bashir, yang arif undang-undang di mahkamah syariah dan sivil, undang-undang lazim pertukaran agama bagi individu bawah umur diperuntukkan mengikut Seksyen 68 Pentadbiran Enakmen Undang-undang Islam (Sabah) 1992, yang menyatakan kebenaran ibu bapa diperlukan untuk menukar agama mereka di bawah umur 18 tahun.

Oleh itu, sekali lihat, nampaknya Yapoo mungkin perlu mengambil tindakan undang-undang untuk mempertikaikan sijil tukar agama itu.

Bagaimanapun, Nizam berkata apabila dikaji lebih lanjut seksyen berkenaan, di mana kebenaran diperlukan, mungkin ia tidak mengikut Perlembagaan.

Ini kerana Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap individu ada hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.

“Oleh itu, perlu diingat pelajar perempuan itu bukan bayi, memandangkan dia bukan kanak-kanak di antara 4 hingga 8 tahun, prasyarat kebenaran mengandungi sekatan tidak munasabah dan tidak mematuhi haknya mengikut Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan,” kata Nizam.

Beliau berkata pertimbangan lain ialah umur individu bawah umur itu, dilihat berbeza daripada perspektif sivil dan undang-undang Islam.

Katanya, individu 16 tahun mungkin dianggap bawah umur daripada perspektif sivil tetapi bagi perspektif Islam, gadis itu ‘sudah sampai umur’, kerana Islam bukan sekadar melihat kepada umur tetapi mempertimbangkan faktor biologi untuk menentukan umur tanggungjawab seseorang.

Nizam berkata, bagi contoh sedemikian, anak itu perlu ditemu bual oleh pihak berkuasa bersesuaian untuk memastikan sama ada dia sudah cukup umur dan juga sama ada dia memeluk Islam secara sukarela atau tidak.

Katanya, ini juga selari dengan Artikel 14 Konvensyen Hak Kanak-kanak, yang menyatakan hak kanak-kanak terhadap kebebasan kepercayaan dan agama perlu dihormati.

Beliau berkata, sentimen serupa tertera dalam Artikel 10 Pengisytiharan Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam, iaitu pertukaran agama menerusi kekeliruan dilarang dalam Islam.

“Jadi, oleh sebab Malaysia penandatangan terhadap kedua-dua dokumen itu, saya fikir Malaysia berdiri pada isu itu, sama ada sebagai dilahirkan kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, perlu sama tanpa mengambil kira sama ada ia ditunjukkan bahagian depan antarabangsa atau domestik,” katanya.

Tetapi, Nizam berkata sama ada seseorang itu Islam atau tidak, sewajarnya ditentukan oleh mahkamah syariah, dan menambah mahkamah sivil tidak boleh masuk dalam ‘kekalutan agama’ untuk menentukan persoalan ini.

“Satu-satunya pengecualian ialah bapa pelajar perempuan itu boleh kembali kepada prinsip undang-undang neutral, di mana pemohon boleh bersandar kepada prinsip undang-undang sivil sedia ada untuk menentukan persoalan pertukaran agama anaknya.

“Tetapi pada masa ini, saya tidak dapat memikirkan prinsip undang-undang neutral untuk membantu bapa berkenaan secara khusus kerana saya anggap Artikel 11 lebih tinggi berbanding Artikel 12 dalam isu ini, di mana Artikel 11 menjamin setiap individu kebebasan hatinya tetapi Artikel 12 hanya menjamin hak ibu bapa menentukan agama individu bawah umur semata-mata atas tujuan arahan agama,” katanya. – 2 Mac, 2015.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Pelajar Sabah Masuk Islam Tidak Sah Kerana Bawah Umur, Kata Peguam" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 2 Mac 2015)