Khamis, 14 Januari 2016

Anak Misionari Mengampuni Pahlawan Waodani Yang Telah Membunuh Ayahnya Di Hutan Ecuador

Steve Saint (kiri) bersama dengan Mincaye, orang yang telah membunuh ayahnya

Pada 1956, Steve berumur lima tahun apabila ayahnya, Nate menerbangkan kapal terbang Piper Cruiser dengan empat orang lagi misionari ke hutan Ecuador dan dengan berani berhubung dengan suku kaum yang paling merbahaya pernah diketahui, suku Waodani, juga dikenali sebagai "Auca," atau orang asli yang ganas.

Selepas beberapa bulan bertukar-tukar hadiah dengan kaum pribumi itu, lima misionari itu telah direjam lembing berkali-kali dan ditetak mati dengan kapak. (Klik di sini untuk kisah lanjut 5 misionari yang menggadai nyawa).

Mincaye
Salah seorang daripada lelaki dari suku itu pada hari tersebut ialah Mincaye. Bertahun kemudian Steve mendapat tahu bahawa Mincaye sebenarnya telah melepaskan rejaman lembing terakhir yang akhirnya membunuh ayahnya. (Tiga daripada pahlawan-pahawan yang terlibat pada hari itu masih hidup pada hari ini).

Pada hari ini, mereka menganggap diri mereka sebagai keluarga dan tidak menyimpan sebarang dendam. Steve berkata dia tidak pernah melupakan kesakitan dan kepedihan hati kehilangan ayahnya.

"Tetapi saya tidak dapat membayangkan tidak mengasihi Mincaye, seorang lelaki yang telah menerima saya seperti anaknya sendiri, dan juga orang-orang Waodani yang lain," kata Steve yang telah membuat kunjungan pertama ke kawasan Waodani ketika dia berumur 9 tahun. 

Sehingga 1956, ibu saudara Steve, Aunt Rachel telah pun tinggal di hutan untuk beberapa tahun, tetapi bukan dengan kaum Waodani. Rachel mengasihi adik lelakinya (ayah Steve) seperti seorang anak, tetapi biarpun selepas adik lelakinya dibunuh, dia kemudiannya pergi tinggal di perkampungan Waodani sehingga kematiannya pada 1994. Kasihnya untuk mereka adalah pengaruh yang sangat penting dalam kehidupan Steve. Steve telah pergi mengunjungi makciknya di perkampungan Waodani pada setiap cuti musim panas. 

Ketika berumur 14 tahun, Steve dan kakaknya, mengambil keputusan untuk dibaptis dan memilih dua orang Waodani untuk menjalankan upacara baptisan itu di sungai yang sama bersebelahan tebing di mana ayah mereka telah dibunuh. Selepas Rachel meninggal dunia, kaum itu meminta agar Steve tinggal bersama mereka. (Steve dan keluarganya tinggal di hutan Ecuador selama setahun setengah). "Apa yang dimaksudkan oleh orang-orang Waodani untuk kejahatan, Tuhan telah gunakan untuk kebaikan," kata Steve. "Jika saya dapat menulis kembali kisahnya, saya tidak akan rela mengubahnya."

Ramai orang sangat hairan dengan hubungan Steve dengan Mincaye. Dia berkata seorang wartawan USA Today mengatakan bahawa jika dia di pihak Steve, dia boleh "mengampuni Mincaye, kemungkinannya. Tetapi mengasihinya, itu gila." Steve berkata hubungan mereka adalah tidak masuk akal sekiranya tidak ada Tuhan dalam keadaan itu. Sungguhpun kematian ayahnya sangat menyakitkan, Steve berkata, hanya kerana itu, Mincaye telah mengambilnya sebagai seorang anak dan Steve telah menjadi sebahagian daripada dunia zaman batu Waodani yang penuh misteri itu. Juga ribuan orang yang tergerak oleh kematian misionari-misionari itu, telah menyerahkan hidup mereka untuk membawa Injil kepada suku-suku bangsa yang belum dijangkau seperti orang-orang Waodani di sekeliling dunia. 

PERLUKAH MEREKA MATI?

Steve masih mempunyai ingatan akan dirinya sebagai seorang kanak-kanak kecil berdiri di tebing tanah yang memisahkan rumahnya daripada landasan kapal terbang yang berbatu pasir. Dia memandang sambil ayahnya berlepas untuk penerbangan ke hutan pada setiap pagi, dan kemudian menanti dengan khuatir kepulangannya. Biarpun berusia lima tahun, Steve tahu bahawa itu adalah suatu risiko besar. 

Seminggu selepas Krismas 1955, Nate Saint, Ed McCully, Jim Elliot, Pete Fleming dan Roger Youderian membuat rancangan untuk pertemuan yang pertama dengan orang-orang Waodani. Selepas beberapa hari, ayahnya masih tidak kembali. Akhirnya pada satu hari, emak Steve memberitahunya bahawa ayahnya tidak akan kembali lagi. 

"Dunia saya mulai runtuh dan fikiran saya dipenuhi dengan bermacam-macam soalan," 

Gambar Steve Saint sewaktu kanak-kanak bersama ayah, ibu dan
kakaknya di hadapan kapal terbang Piper Cruiser di Ecuador

Selama bertahun-tahun, Aunt Rachel memberitahu Steve agar jangan pernah menanya orang-orang Waodani mengenai apa yang telah membawa kepada pembunuhan-pembunuhan itu pada hari tersebut. Jika dia bertanya, mungkin mereka akan mengesyaki bahawa dia sedang berusaha mencari maklumat siapa yang terlibat untuk membalas dendam kematian ayahnya. Melalui masa, saling kepercayaan antara suku itu dan Steve mejadi semakin kuat. Selepas pengkebumian Rachel, orang-orang Waodani memberitahu Steve mengenai apa yang telah berlaku pada hari dia menanti kepulangan kapal terbang ayahnya. 

"Terdapat terlalu banyak faktor yang harus terjadi bersama untuk menyebabkan peristiwa itu seperti yang terjadi," kata Steve. "Terlalu banyak untuk saya percayai sebagai hanya satu kebetulan." 

Dia percaya kesemua misionari itu telah mati sebagai sebahagian daripada rancangan Tuhan. "Saya tahu ini mungkin menyinggung perasaan sesetengah orang," kata Steve. "Tetapi saya tidak berfikir apa yang berlaku pada ayah saya dan empat kawannya merupakan satu kejutan bagi Tuhan."

Steve dan Mincaye
di hutan Ecuador
Steve berkata dia percaya bahawa Tuhan lebih banyak terlibat dalam apa yang terjadi daripada cuma gagal campur tangan.

'Saya secara peribadi telah membayar harga yang tinggi untuk apa yang terjadi, tetapi saya juga telah mendapat pandangan berjarak dekat kisah yang terus berputar selama setengah abad ini. Saya percaya hanya Tuhan yang dapat mencorakkan kisah yang begitu menakjubkan ini darinya peristiwa yang begitu tragik," katanya. Oleh kerana lima misionari itu rela mati, semua orang lain dalam suku kaum itu ada peluang untuk hidup.

Baca juga - Kesaksian Steve: Bagaimana Saya Dapat Mengampuni dan Mengasihi Mincaye Serta Orang-Orang Waodani

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel CBN bertajuk, "Steve Saint: The Legacy of the Martyrs")