Jumaat, 15 Januari 2016

Kesaksian Steve Saint: Bagaimana Saya Dapat Mengampuni dan Mengasihi Mincaye Serta Orang-Orang Waodani

Steve Saint (kiri) bersama dengan Mincaye, pahlawan Waodani yang telah membunuh ayahnya

Hai, nama saya Steve Saint. 60 tahun yang lalu, tepat masa ini, Tuhan telah memulakan sebuah kisah yang sangat-sangat membawa kesan dalam hidup saya dan juga dalam hidup 4 keluarga lain, dan beratus ribu orang yang lain di sekeliling dunia.

Mazmur 145:4 mengatakan mengenai kisah-kisah Tuhan: "Angkatan demi angkatan akan memegahkan pekerjaan-pekerjaan-Mu dan akan memberitakan (kisah mengenai) keperkasaan-Mu."

Kisah yang Tuhan memulakan 60 tahun yang lalu ialah kisah mengenai ayah saya Nate Saint dan 4 orang kawannya, Jim Elliot, Roger Youderian, Pete Fleming dan Ed McCully yang telah membuat keputusan untuk berhubungan dengan sebuah suku kaum asli yang sangat ganas yang tinggal di kawasan tebing sungai Amazon di Ecuador.

Dari kiri: Roger Youderian, Pete Fleming, Jim Elliot, Nate Saint, Ed McCully

Suku kaum ini telah diganggu oleh sebuah syarikat minyak, dan mereka telah membunuh pekerja-pekerja syarikat minyak itu untuk menghalang pekerja-pekerja syarikat itu daripada memasuki kawasan mereka. Syarikat minyak itu telah bertemu dengan kerajaan Ecuador dan menyakinkan kerajaan bahawa jika mereka ingin syarikat minyak itu untuk mencari minyak, maka mereka perlu bersama-sama menghapuskan masalah ini.

Nate Saint dan isteri
(ibu bapa Steve)
Oleh itu Ayah dan kawan-kawannya mengambil keputusan untuk membuat percubaan berhubung, berhubung secara baik, sebelum usaha-usaha dilakukan oleh pihak lain untuk melenyapkan suku kaum yang kecil ini, yang sangat ganas.

Dalam proses itu, Ayah dan kawan-kawannya telah dibunuh, tetapi itu cuma permulaan kisahnya.

Beberapa tahun yang lalu, saya sedang menjelajah dengan seorang lelaki yang kami panggil Grandfather Mincaye, salah seorang dari puak itu yang telah membunuh Ayah dan kawan-kawannya. Semasa kami dalam jelajah dan berucap dalam acara Steven Curtis Chapman, seorang pemuzik Kristian kontemporari, seorang wartawan dari USA Today menelefon saya dan berkata, "saya ingin menemuramah anda. Tetapi pertamanya, saya ingin menanya anda beberapa soalan.

Seorang editor USA Today semasa menemuramah kami berkata, "Saya boleh memahami kemungkinannya mengampuni orang yang telah membunuh ayah kamu. Tetapi mengasihinya? Itu kedengarannya seperti gila." Dan ya, itu memang gila jika ianya bukan benar. Tetapi jawapan kepada mengapa dan bagaimana sesuatu seperti ini boleh berlaku adalah sebenarnya sangat mudah. Ianya adalah kasih karunia Tuhan dan kuasa Firman-Nya. – dari ucapan Steve Saint di acara konsert Steven Curtis Chapman

Ayah saya dan 4 kawannya rela mati daripada untuk membunuh orang-orang Waodani apabila mereka diserang, sebab mereka semuanya ada pistol dan orang-orang Waodani memiliki lembing. Oleh itu saya berfikir sebagai seorang anak kecil, "Wow, Ayah saya mesti mengasihi orang-orang Waodani." Dan setiap malam selepas Ayah dibunuh, apabila kami berkumpul untuk saat teduh keluarga, ibu saya akan berdoa untuk orang-orang itu yang telah membunuh dengan ganas ayah saya dan telah menghancurkan hidup saya.

Aunt Rachel pergi tinggal
di kampung Waodani
Dan kemudian, beberapa tahun kemudian, Ibu memberitahu bahawa Aunt Rachel saya, yang sepertinya ibu kedua bagi saya, dia adalah kakak ayah saya, dan Aunt Betty yang sebenarnya tiada hubungan keluarga dengan kami, tetapi kami memanggil juga dia Aunt Betty, Betty Elliot namanya  mereka berdua akan pergi dan cuba tinggal bersama orang-orang yang baru saja membunuh Ayah, Roger dan Ed, Pete dan Jim. Dan saya berfikir, "Ini perbuatan bodoh. Mereka akan bunuh Aunt Rachel dan Aunt Betty juga."

Tetapi Aunt Rachel dan Aunt Betty pun pergi dan mereka tidak dibunuh. Tetapi saya tahu bahawa Aunt Rachel cukup mengasihi orang-orang itu sehingga rela mati untuk mereka. Apabila saya bertemu dengan mereka beberapa tahun kemudian, saya sangat yakin bahawa orang-orang ini adalah orang-orang yang paling istimewa di bumi.

Apabila saya bertemu dengan mereka beberapa tahun kemudian, saya sangat yakin bahawa orang-orang ini adalah orang-orang yang paling istimewa di bumi.  Steve Saint

Maksud saya, mengapakah ayah saya dan kawan-kawannya akan rela membahayakan nyawa mereka dan kemudian tidak cuba mempertahankan diri semasa mereka diserang? Mengapakah ibu saya akan terus mendoakan untuk mereka? Mengapakah Aunt Rachel saya akan rela membahayakan nyawanya melainkan orang-orang ini adalah orang-orang yang sungguh-sungguh istimewa?


Steve Saint bersama orang-orang Waodani

Dan sambil perbualan dengan wartawan itu sampai ke bahagian penghujung, saya berfikir bahawa ada satu pepatah lama yang mengatakan, "Orang yang terluka, Melukakan orang lain." Dan mungkin ianya juga benar bahawa, "Orang yang telah diampuni, Belajar mengampuni orang lain."

Wartawan itu benar-benar ingin tahu samada orang itu, yang bersama saya dalam jelajah, dan berkongsi bilik perginapan, dan yang saya sayangi, adalah orang yang sama yang telah membunuh ayah saya dan empat orang kawannya. dan saya mengatakan ya.

Steve bersama Grandfather Mincaye
Tapi saya memberi dia jawapan yang tidak tepat. Oh ya, dia kelihatan seperti orang itu, dan dia memiliki perwatakan yang secara umumnya sama, tetapi dia bukan orang yang sama. Biarlah saya jelaskan.

Dalam 2 Korintus 5:17 dinyatakan bahawa, "Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang."

Setelah Grandfather Mincaye dan orang-orang Waodani menjadi pengikut Kristus, saya bukan berkata seluruh suku itu menjadi Kristian, tetapi apabila orang-orang itu menjadi pengikut Kristus, mereka sebenarnya mengajar saya bagaimana untuk menjadi pengikut Kristus sewaktu saya tinggal dengan Aunt Rachel. Ya, sungguh benar – apabila seseorang ada di dalam Kristus, dia menjadi seorang yang baru.





(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada video I-TEC bertajuk "60 Years Later With Steve Saint" bertarikh 7 Januari 2016)