Sabtu, 13 Februari 2016

Pasangan Yang Pergi Ke Gereja Lebih Bahagia - Hasil Kajian

(Foto Harvest Crusade)

Kajian Mendapati Bahawa Pasangan-Pasangan Yang Sering Pergi Ke Gereja Bersama-sama Memiliki Perhubungan Yang Paling Bahagia

Ribuan orang menyembah di Angel Stadium, Anaheim, California, semasa Harvest Crusade 2011. Sejumlah 115,000 orang menghadiri acara penginjilan itu, yang diadakan dari 12-14 Ogos. Lebih dari 12,000 orang membuat keputusan mengikuti Kristus dalam masa tiga hari itu. 

Institute of Family Studies (Institut Kajian Keluarga) telah mengeluarkan hasil kajian pada hari Khamis lalu yang mendapati bahawa pasangan-pasangan yang menghadiri kebaktian ibadah bersama-sama atau apabila hanya yang lelaki menghadiri kebaktian ibadah adalah lebih bahagia daripada pasangan-pasangan yang kedua-duanya tidak menghadiri atau hanya yang perempuan menghadiri. 

Diberi tajuk "Bersama Lebih Bagus: Kehadiran Acara Keagamaan, Jantina dan Kualiti Perhubungan," kajian itu telah dijalankan oleh W. Bradford Wilcox, pengarah Projek Perkahwinan Kebangsaan di Universiti Virginia dan Nicholas H. Wolfinger, profesor di Jabatan Kajian Keluarga dan Konsumer dan Profesor Sosiologi di Universiti Utah. 

"Tujuh puluh lapan peratus daripada lelaki dan perempuan dari pasangan-pasangan yang selalu menghadiri kebaktian ibadah bersama, atau di mana hanya yang lelaki selalu menghadiri, melaporkan bahawa mereka "sangat bahagia" atau "tersangat bahagia," selepas dibuat penyelarasan untuk perbezaan dalam bangsa, umur, pendidikan, status perkahwinan, wilayah dan faktor-faktor lain," menurut kajian itu.

"Secara bandingan 67 peratus lelaki dan perempuan dalam perhubungan di mana kedua-duanya tidak menghadiri adalah bahagia, dan hanya 59 peratus orang dalam pasangan-pasangan di mana hanya yang perempuan selalu menghadiri, melaporkan bahawa mereka sangat bahagia. Adalah jelas bahawa kehadiran bersama dan kehadiran yang lelaki mempunyai kaitan dengan kualiti perhubungan yang lebih baik seperti dilaporkan oleh mereka sendiri."




Berkenaan mengapa perhubungan dilaporkan lebih bagus apabila hanya yang lelaki menghadiri kebaktian ibadah, Wilcox dan Wolfinger memberi sebabnya pada isi kandungan kebaktian-kebaktian itu. 

"Kajian kami memberikan petunjuk bahawa kehadiran keagamaan pihak lelaki adalah secara khusus bermanfaat dalam perhubungan mereka, sebahagiannya kerana gereja-gereja, rumah-rumah ibadah Yahudi, masjid-masjid dan kuil-kuil adalah di antara tidak banyak institusi-institusi dalam kehidupan rakyat Amerika Syarikat yang memberikan tumpuan secara berterusan mendorong orang-orang lelaki untuk memberi keutamaan kepada keluarga mereka," menurut kajian itu. 

Kajian itu berdasarkan data dari Banci Nasional Mengenai Agama dan Kehidupan Keluarga 2006, yang membuat bancian di kalangan lebih kurang 1,600 orang dewasa berumur 18-59 tahun.

Ini bukanlah kali pertama Wilcox membentangkan kajian yang telah menemukan kaitan di antara perhubungan yang sihat dan kehadiran dalam kebaktian ibadah. 

Pada 2008, Wilcox mendapati bahawa rakyat Amerika yang sudah berkahwin dan sering menghadiri kebaktian gereja adalah lebih tinggi kemungkinannya mengatakan mereka "sangat bahagia" berbanding rakyat Amerika yang tidak sering ke gereja.

Untuk kajian itu Wilcox mendapatkan data daripada Banci Am Sosial, Banci Nasional Mengenai Keluarga dan Rumahtangga, dan Banci Nasional Mengenai Pertumbuhan Keluarga.

(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel The Christian Post bertajuk, "Want Romance? Go To Church, Study Finds" penulisan Michael Gryboski bertarikh 11 Februari 2016)