Khamis, 14 April 2016

5 Jenis Perhubungan Yang Setiap Kristian Perlukan


Oleh Chuck Lawless:

Allah menciptakan Adam dan berkata mengenainya, "Tidak baik, kalau manusia itu seorang diri sahaja" (Kejadian 2:18). Mesej itu tidak bermaksud bahawa setiap orang mesti berkahwin, tetapi ianya menunjukkan bahawa Allah menciptakan kita untuk memiliki hubungan dengan orang-orang lain. Orang-orang (seperti saya) yang cenderung untuk menyendiri perlu mendengar kata-kata ini: Oleh rekacipta Allah, kita memerlukan orang lain. Berikut ialah 5 jenis perhubungan yang setiap pengikut Kristus perlukan:

1. Allah - Saya tahu ini sudah yang sepastinya, tetapi terlalu sering kita mengenal Allah dalam kepala kita dan bukan dalam hati kita. Memiliki perhubungan yang sejati dengan Allah bererti ingin bercakap dengan-Nya, mendengar daripada-Nya, taat kepada-Nya dan memberitahu orang lain mengenai-Nya. Saya tidak pasti ramai orang Kristian memiliki perhubungan yang seperti itu dengan Pencipta kita.     

2. Seorang "Paulus" - Setiap orang percaya perlukan seorang saudara yang matang dalam Kristus, yang menjadi mentor bagi mereka, yang membimbing mereka untuk semakin kerap berjalan bersama Yesus. Seorang "Paulus" diberi keizinan menanya anda sebarang soalan, untuk meneliti lebih mendalam dalam kehidupan anda, sehingga tempat-tempat paling tersembunyi dalam hidup anda memuliakan Allah.

3. Seorang "Barnabas" - Seorang "Barnabas" adalah rakan sebaya, seorang kawan yang mendorong anda untuk sentiasa setia kepada Allah. Dia cukup mengenali anda untuk membaca mata anda dan memahami hati anda, tetapi dia juga adalah seorang yang suka meluangkan masa bersama-sama anda. Dia seorang saudara yang sama tahap dengan anda dalam perhubungannya dengan Allah, dan matlamat anda adalah untuk maju bersama-sama. 

4. Seorang "Timotius" - "Timotius" adalah orang percaya yang lebih muda yang anda berikan bimbingan dalam hidupnya (yang menjadikan anda seorang "Paulus"). Dia adalah orang percaya yang menyaksikan hidup anda, mendengar dan mempelajari daripada anda sambil anda meluangkan masa bersama. "Timotius" anda ingin menjadi lebih seperti Allah kerana anda seperti itu, dan hubungan "Paulus/Timotius" adalah model asas pemuridan Perjanjian Baru.

5. Seorang "Wanita Samaria" atau seorang "pemimpin muda yang kaya" - Wanita Samaria dan pemimpin muda yang kaya adalah contoh-contoh orang-orang tidak percaya yang telah bertemu dengan Yesus. Setiap kita perlu mempunyai perhubungan yang bertujuan baik dengan beberapa orang-orang tidak percaya, samada ianya seorang wanita di tepi sumur, seorang pemimpin muda yang kaya atau seorang ahli Farisi yang kuat beragama. Jika kita tidak memiliki perhubungan seperti ini, adalah sukar untuk kita untuk menjadi orang Kristian Amanat Agung yang menyampaikan Berita Baik.

Orang-orang percaya yang sejati tentu saja mempunyai perhubungan dengan Allah. Ada yang mempunyai seorang Paulus, ada yang mempunyai seorang Timotius. Ramai yang memiliki seorang Barnabas, walaupun kadang-kadang tidak seakrab yang mungkin. Terlalu sedikit yang memiliki perhubungan persahabatan dengan seorang wanita Samaria atau seorang pemimpin muda yang kaya. Kita mengenali orang-orang tidak percaya, tetapi kita tidak melihat mereka seperti domba yang tidak bergembala.

Oleh itu kita perlu banyak berusaha membina perhubungan.

Apakah jenis perhubungan yang anda miliki? Apakah jenis perhubungan yang anda perlu perkembangkan?

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Church Leaders yang bertajuk "5 Relationships Every Christian Needs" penulisan Chuck Lawless)