Christian Federation of Malaysia (Persekutuan Kristian
Malaysia) telah mengeluarkan lembaran fakta kepada gereja-gereja di
Malaysia pada 16 Mei 2013 mengenai sejarah penggunaan kalimah 'Allah'.
Pengenalan dan Latarbelakang
Tujuan dokumen ini adalah untuk menjelaskan secara ringkas
kepada orang-orang Kristian yang tidak faham bila, kenapa dan bagaimana
Gereja-gereja di Malaysia menggunakan kata “Allah”. Ia juga untuk orang
Kristian yang keliru tentang bagaimana harus bertindak apabila berhadapan
dengan orang bukan Islam yang jahil tentang penggunaan kata “Allah” dalam agama
Kristian.
Terdapat banyak kenyataan (tidak tepat)
bukan Kristian yang mendakwa bahawa kita tidak boleh menggunakan kata “Allah”
kerana ia adalah istilah eksklusif untuk agama Islam yang merujuk kepada Tuhan
Islam dan hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Ia merupakan masalah pelik di
Malaysia kerana di negara-negara Islam yang lain, di negara Arab penganut
Kristian berbahasa Arab menggunakan kata “Allah”.
Umat Kristian sendiri kadang-kadang jahil kecuali jika kita
berdoa dalam Bahasa Malaysia, kita berdoa kepada “Allah” dalam bahasa kita
sendiri. Sebagai contoh, dalam Bahasa Inggeris, kita tidak menggunakan kata
“Allah”.
Walau bagaimanapun, lebih 60 peratus daripada Kristian di
Malaysia hanya bercakap dalam Bahasa Malaysia, dan perkataan yang digunakan
untuk Tuhan di dalam kitab Bahasa Malaysia (Al-Kitab) sejak terjemahan pada
tahun 1731, adalah “Allah”. Kata ini digunakan oleh Bumiputera Kristian yang
menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara mereka terutama di Sabah,
Sarawak, Semenanjung Malaysia, dan masyarakat Baba di Melaka
Sejarah Makna dan Penggunaan
1. Kata “Allah” adalah istilah yang digunakan bagi Tuhan
yang tertinggi di antara tuhan-tuhan, sebelum wahyu Islam. The Shorter
Encyclopedia of Islam, ed. H.A.R. Gibb & J. H. Kramer dan The Oxford
Encyclopedia of the Modern Islamic World, ed. John L. Esposito, menyokong dan
mengesahkan pernyataan ini.
2. Dari segi sejarah, penganut Kristian berbahasa Melayu di
Asia Tenggara telah menggunakan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan. Buktinya
adalah seperti berikut:
• Wujudnya Kitab salat as sawai atau Katekismus Kristian di
dalam Bahasa Melayu telah ditulis pada tahun 1514 dan diterbitkan sekitar
1545,
• Telah ada versi cetakan Injil Matius di dalam Bahasa
Melayu oleh A.C. Ruyl pada tahun 1629,
• Kamus Melayu-Latin telah dicetak di Roma pada tahun 1631
(Dictionarium The Malaicum-Latinum dan Latinum — Malaicum)
• Terjemahan Kitab Kejadian oleh D. Brouwerius (1662),
• Terjemahan M. Leijdecker (1733),
• Terjemahan H.C. Klinkert (1879),
• Terjemahan W.A. Bode (1938), dan
• Pada tahun 1731-1733, telah wujud Al-Kitab Bahasa Melayu
lengkap mengandungi kata “Allah” iaitu terjemahan untuk “God”.
3. Oleh itu, sejak awal lagi, kata “Allah” telah digunakan
dalam liturgi, doa-doa dan ibadat orang-orang Kristian yang bertutur dalam
Bahasa Malaysia. Tetapi selama berabad-abad itu, tidak ada bantahan atau
kegemparan mengenai penggunaan kata “Allah”.
Bahasa
Bantahan terhadap penggunaan kata “Allah” kebanyakannya
berpunca dari wacana politik, atau di kalangan mereka yang membantah dengan
tuduhan bahawa penterjemahan dan penggunaan kata “Allah” baru sahaja berlaku.
Ini tidak benar kerana sebab-sebab berikut:
1. Dalam bahasa-bahasa Semitik, kata “Allah” telah digunakan
secara meluas di Timur Tengah sejak abad ke-5 Sebelum Masihi, sehingga masa
perkembangan Islam dan penyebaran Bahasa Arab pada
abad ke-7 Selepas
Masihi..
2. Penterjemahan Al-Kitab bukan menterjemah dari Bahasa
Inggeris tetapi berdasarkan teks-teks dari Al-Kitab Ibrani dan teks Yunani.
Dalam Bahasa Ibrani, kata “Allah” mempunyai bentuk akar yang sama seperti
Bahasa Arab. Jadi, apabila kata “Allah” pertama kali diterjemahkan ke dalam
Bahasa Malaysia, para penterjemah sebenarnya mengikut penggunaan Bahasa Arab
Kristian dan mengekalkan perkataan “Allah”.
3. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kata “Allah”
digunakan sebelum kedatangan Islam. Ia bukan ciptaan umat Islam dan
kewujudannya tidak bermula di dalam Al-Quran.
Haruskah Kristian Menggantikan kata “Allah” dengan “Tuhan”?
Ini tidak mungkin atas sebab-sebab berikut:
1. Dalam Bahasa Melayu, “Allah” bermakna “God” dan “Tuhan”
bermaksud “Lord”. Ini jelas apabila kita membaca Al-Kitab, “Allah” dan “Tuhan”
digunakan di dalam Al-Kitab, dan kedua-duanya mempunyai konotasi yang berbeza.
Oleh itu “Allah” tidak boleh digantikan dengan “Tuhan”.
2. Kata Tuhan telah digunakan untuk Yesus Kristus iaitu
Tuhan Yesus. Sekiranya Kristian menggantikan kata “Allah” dengan Tuhan, ia
menimbulkan banyak kekeliruan dan tidak keruan yang merujuk kepada Allah dan
Yesus kerana:
• Makna “Allah” dan Tuhan adalah berbeza.
• Ini sangat jelas melalui satu contoh sahaja. Di dalam
Yesaya, Bab 41 dan Ayat 13; 43:3 dan 51:51. “For I am the LORD, your GOD...”
diterjemahkan sebagai “Akulah Tuhan, Allah kamu...”(ALKITAB: Berita Baik. 2001.
Edisi Kedua. Terbitan The Bible Society of Malaysia).
• Ia akan mewujudkan situasi tidak masuk akal jika orang
Kristian perlu menterjemahkan frasa alkitabiah “Lord God” sebagai Tuhan Tuhan.
Pengulangan kata Tuhan Tuhan menunjukkan jamak di dalam Bahasa Malaysia, ia
seolah-olah memperlihatkan bahawa agama Kristian percaya akan banyak tuhan, ini
adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
• Umat Kristian berbahasa Malaysia tidak akan dapat
mengesahkan ketuhanan Yesus Kristus dan mengajar doktrin Tritunggal kerana dua
perkataan ini adalah kata-kata asas dan penting untuk mengekalkan serta
menyampaikan kebenaran ini.
Kesan-kesan Larangan Kata “Allah”
1. Dinafikan untuk menggunakan kata “Allah” adalah melanggar
hak perlembagaan kebebasan beragama rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap rakyat
Malaysia untuk menganut agama dan amalan pilihan masing-masing. Perkara 11 (3)
jelas memperuntukkan bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk mengurus
hal ehwal agama mereka sendiri.
2. Pada tahun 2011, Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman
yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan “Allah”. Kerajaan (semua
rakyat Malaysia, termasuk Kristian) membawanya ke Mahkamah Rayuan dan ia masih
belum selesai.
3. Selain itu, terdapat juga pelanggaran hak menggunakan
kata-kata penting dalam Al-Kitab Bahasa Malaysia. Lihat arahan 5 Disember 1986
daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menyatakan bahawa, sebagai tambahan
kepada “Allah”, kata-kata Al-Kitab, Firman, Rasul, Iman, Ibadah, Injil, Wahyu,
Nabi, Syukur, Solat dan doa adalah tidak boleh digunakan dalam Al-Kitab. Di samping
itu, membuat larangan melalui fatwa hanyalah relevan dengan umat Islam sahaja
dan tidak terpakai kepada bukan Islam.
4. Melarang penggunaan kata “Allah” dan istilah-istilah lain
adalah tidak adil. Kristian Bumiputera perlu diberi penghormatan dan kebebasan
untuk memanggil Tuhan dalam satu-satunya bahasa yang mereka. Ini adalah penting
bagi identiti agama dan budaya mereka.
5. Jika gereja-gereja di Malaysia bersetuju untuk berhenti
menggunakan kata “Allah”, bermakna hak untuk mengedit Kitab Suci agama utama
dunia telah diberikan kepada sebuah kerajaan sekular. Ini akan menjadi satu
perkara memalukan dan kejadian yang belum pernah berlaku pada mana-mana agama
dan kerajaan.
Kesimpulan
Sesetengah umat Islam mendakwa berulang kali bahawa orang
Kristian di Malaysia enggan berhenti menggunakan kata “Allah” kerana mahu
mengelirukan umat Islam dan memurtadkan penganut Islam, sekali gus menimbulkan
ancaman kepada keselamatan negara. Tuntutan itu adalah tidak berasas kerana
tiada bukti penggunaan kata ini membawa ancaman keselamatan negara. Tuduhan ini
kekal sebagai tidak berasas.
Sebaliknya, keadaan sebegitu dibuat kerana jahil dengan hakikat bahawa apabila
orang Kristian menggunakan Al-Kitab, ia adalah khusus untuk umat Kristian
berbahasa Malaysia. Gereja-gereja Malaysia tidak pernah mencadangkan untuk
mengubah kata "God" dan "Lord" kepada "Allah" dan
"Tuhan", dalam bahasa-bahasa lain Al-Kitab.
(Terjemahan artikel Malay Mail Onlime bertajuk, "When, Why And How Christians Use The Word 'Allah' - CFM" bertarikh 22 Ogos 2013)