Sabtu, 15 Oktober 2016

Charlie's Café - Menikmati Hidangan, Membayar Ke Hadapan

Murah hati: Steven Aroki dan kawannya Joanne Oo mengambil welfie di Charlie's Cafe.
Di latar belakang adalah Desonny, Debra dan anak-anak  mereka (Foto: The Star) 

(Artikel asal The Star ini telah diterbitkan pada 12 Disember 2015).

Para pelanggan di sebuah kafe sedang menyebarkan kasih dengan baucer hidangan untuk anak-anak yatim, para pesakit pemuliharaan dadah, orang-orang pelarian dan mereka yang tiada tempat tinggal.  

Lima belas hari sebelum Krismas, Steven Aroki telah membeli beberapa baucer “Bayar Ke Hadapan” (Pay It Forward) di Charlie’s Café di Taman Bukit Desa, Kuala Lumpur.

Dia menampalkan baucer-baucer itu – bernilai RM15 setiap satu – ke dinding “Bayar Ke Hadapan” di kafe itu. Wang yang telah dikumpulkan akan disalurkan kepada satu majlis makan malam Istimewa Krismas untuk 80 kanak-kanak pelarian dari Myanmar pada 22 Disember.

“Dalam suasana Krismas, saya ingin melakukan sesuatu untuk anak-anak pelarian itu.  Kanak-kanak itu bukan selalu dapat keluar dan makan makanan yang bagus di sebuah kafe,” kata Steven, yang menikmati hidangan-hidangan kafe itu yang mendapat anugerah – chicken chop dan kek keju – untuk makan tengahari.

Pengurus besar yang berusia 40an itu juga membeli beberapa baucer bagi pihak Nick Liew dari Pulau Pinang, yang seanggota dengannya dalam kumpulan WhatsApp Barang Naik.

Memperkenalkan Charlie’s Café – satu keusahawanan yang berhati mulia

Desonny Tuzan, yang berasal dari Sabah dan berumur 41 tahun, menguruskan kafe itu bersama isterinya dari Sabah, Debra Leong, yang merupakan pembuat kek di kafe itu. Ianya telah dibuka pada 19 Mei, pada tahun ini dengan tujuan mengasaskan satu keusahawanan yang akan membawa impak kepada komuniti, terutama orang-orang pribumi.

“Kami ingin membawa perubahan!” Desonny berkata.

 Desonny, Debra dan anak mereka, Athea
Satu daripada caranya adalah melalui “Bayar Ke Hadapan”, satu konsep yang ingin dicuba oleh Desonny, yang memiliki 20 tahun pengalaman dalam industri makanan dan minuman.

"Inspirasinya datang dari sebuah video viral di Facebook yang kami tonton sebelum ini," katanya.

Sambutan daripada orang ramai terhadap kempen "Bayar Ke Hadapan" adalah di luar jangkaan. "Kami mendapat pertanyaan dari orang sejauh Singapura mengenainya," katanya.

Dengan wang yang telah dikumpulkan dari kempen itu, Desonny telah menjemput anak-anak yatim, pesakit-pesakit pemuliharaan dadah, dan kanak-kanak pelarian untuk makan di Charlie’s Café.

Salah satu organisasi yang bekerjasama dengan mereka adalah Kelab Rotary Subang, yang mengaturkan semua logistik. "Kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak NGO lagi," katanya. 

Mereka juga merencana untuk menggaji dan melatih orang-orang pribumi supaya mereka akhirnya dapat memiliki perniagaan mereka sendiri di bawah jenama Charlie’s Café.

Satu cara lain Charlie’s Café membantu orang-orang pribumi adalah dengan membeli daripada komuniti Orang Asli. Pada bulan ini, kafe ini menjual madu asli yang diperolehi daripada Orang Asli di Pahang. Pada bulan Januari, mereka merancang untuk membeli sayur-sayuran daripada mereka. 

"Ideanya ialah agar komuniti ini dapat melakukan perniagaan tanpa melibatkan orang tengah," kata Desonny. 

Kasih yang disebarkan oleh Charlie’s Café juga membawa kesan kepada seorang pelanggan. Dia telah membawa seorang dari Sabah yang tiada tempat tinggal yang ditemuinya di Central Market di Kuala Lumpur untuk makan tengahari di kafe itu. 

Desonny terkejut kerana dia tidak menyangka bahawa orang akan membawa orang yang tiada tempat tinggal ke kafenya untuk makan. "Saya menawarkannya nasi lemak, tetapi dia menolak dan hanya meminta nasi dan ayam goreng," katanya, dan menambah dia berharap bahawa lebih ramai orang akan membawa orang-orang yang tiada tempat tinggal ke kafe itu.

Hidangan-hidangan - kek keju, tom yam, nasi lemak, laksa (terutama laksa Sarawaknya), mi kari, chicken chop - dari kafe yang berusia 6 bulan ini telah diundi sebagai yang terbaik di Kuala Lumpur oleh pembaca-pembaca FoodAdvisor.my, suatu laman baru yang ingin memberi kuasa kepada rakyat Malaysia untuk mencari dan mendapatkan makanan dan minuman terbaik yang disyorkan mengikut hidangan dan lokasi.  

"Selepas beroperasi selama enam bulan, kami tidak pernah menjangka akan disenaraikan pun!" kata Desonny.

Dan rahsia di sebalik hidangan-hidangan yang memenangi anugerah itu adalah...

"Rahsianya adalah dengan memahami citarasa pasaran sasaran anda. Mendapatkan ramuan yang berkualiti dan pembekal yang baik juga adalah penting. Memiliki kecintaan dan semangat kecemerlangan," katanya.

Satu lagi rahsia makanannya yang lazat adalah orang-orang yang di sebalik tabir.

Kek keju Musang King di Charlie's Cafe
"Isteri saya Debra membuat skon, kek mentega dan kek keju Musang King yang terkenal itu.

"Dia bermula membuat kek di rumah tetapi melalui masa bertahun-tahun, dia sudah memahami citarasa orang ramai, tertutama ketika kami menjalankan kafe di Damansara Utama Methodist Church selama tiga tahun," katanya.

Kafe itu diuruskan oleh mereka sekeluarga. Desonny dan Debra dibantu oleh anak-anak mereka - Ezekiel, 13 tahun, Athea, 10 tahun, Sofea, 6 tahun dan Daniella yang berusia 19 bulan.

"Daniella menghiburkan para pelanggan dengan kecomelannya," katanya.

Visi Desonny untuk Charlie’s Café adalah untuk "bertumbuh menjadi ratusan cawangan di Malaysia" kerana dia ingin menyajikan "makanan Malaysia yang menakjubkan".

"Kami ingin cawangan-cawangan di mana rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dapat duduk dan menikmati hidangan bersama dengan kawan-kawan dan keluarga, seperti di Malaysia Timur," katanya.

Jika Charlie’s Café meneruskan usaha yang baik ini, Santa Klausnya mungkin akan mengabulkan impian Krismasnya.

(Diterjemahkan daripada artikel The Star bertajuk, "Dining Out And Paying It Forward" yang ditulis oleh Philip Golingai bertarikh 12 Disember 2015)