Jumaat, 10 Februari 2017

Ahli-Ahli Kaji Purba Menggali Gua Ke-12 Yang Dipercayai Pernah Menyimpan Gulungan-Gulungan Laut Mati

Gulungan yang disedang diproses untuk penulisan, begitu kata ahli-ahli kaji purba, telah dijumpai
di sebuah gua yang dipercayai pernah mengandungi Gulungan-Gulungan Laut Mati.
(Foto: Casey L. Olson dan Oren Gutfeld / Universiti Hebrew, Israel)

Ahli-ahli kaji purba dari Amerika Syarikat dan Israel berkata bahawa mereka telah menjumpai bukti-bukti bahawa gua yang ke-12 telah digunakan untuk menyimpan Gulungan-Gulungan Laut Mati, manuskrip-mnuskrip kuno yang tarikhnya dari zaman Yesus. 

"Penggalian yang mengujakan ini adalah yang paling hampir bagi kita menemukan gulungan-gulungan Laut Mati dalam masa 60 tahun," kata Oren Gutfeld dari Universiti Hebrew dalam satu kenyataan mengenai penemuan itu. "Sehingga kini, ianya diterima umum bahawa gulungan-gulungan Laut Mati ditemui hanya di 11 gua di Qumran, tetapi kini tidak ada keraguan lagi bahawa ini adalah gua yang ke-12."

Sejak lewat 1940an, apabila gulungan-gulungan itu telah ditemukan di cerun-cerun di pinggiran Laut Mati, para sarjana telah mengkaji gulungan-gulungan itu untuk pencerahan mengenai sejarah Alkitab Ibrani dan asal-usul Kekristianan. 

Seperti yang pernah dilaporkan NPR, "Gulungan-gulungan itu kelihatannya telah disembunyi di kawasan gurun dekat Qumran di Tebing Barat oleh satu golongan yang dikenali sebagai Essene yang wujud sekitar zaman Yesus."


Gua-gua berdekatan Qumran di Tebing Barat Laut Mati (kiri), dan peta Israel (kanan)
di mana Gulungan-Gulungan Laut Mati telah ditemui sejak akhir 1940an

Walaupun gua yang ke-12, yang digali oleh sekumpulan dari Universiti Hebrew, Yerusalem dan Universiti Liberty, Virginia, telah pernah dipetakan sebelum ini. ini adalah kajian paling terperinci mengenai kandungannya. 

"Walaupun pada akhirnya tiada gulungan yang ditemukan, dan sebaliknya kami 'hanya' menemukan sekeping gulungan yang telah digulung dalam sebuah pasu yang sedang diproses untuk penulisan, penemuan itu memberi petunjuk tanpa diragui lagi bahawa gua itu pernah mengandungi gulungan-gulungan yang kini telah dicuri," Gutfeld menerangkan.


Serpihan pasu-pasu yang pernah menyimpan gulungan-gulungan manuskrip lama
di sebuah gua berdekatan pinggir pantai timur laut Laut Mati di Israel.
(Foto: Casey L. Olson dan Oren Gutfeld / Universiti Hebrew) 

Penemuan-penemuan itu termasuklah pasu-pasu di mana gulungan-gulungan dan pembalutya telah disembunyikan, satu tali kulit untuk mengikat gulungan itu, kain yang membaluti gulungan-gulungan itu, sendi atau kepingan kulit yang menyambungkan serpihan (gulungan) dan lain-lain lagi."

Pencuri-pencuri telah meninggalkan mata pisau yang diperbuat batu, kepala panah, dan cop mohor yang diperbuat dari sejenis batu yang digelar carnelian, yang memberikan petunjuk bila dan bagaimanakah gua itu telah digunakan pada abad-abad yang lepas.


Kain untuk membalut gulungan (kiri), Cop mohor diperbuat dari batu carnelian (kanan)
(Foto: Casey L. Olson dan Oren Gutfeld)

"Saya membayangkan mereka telah memasuki gua itu. Mereka menjumpai pasu-pasu gulungan itu. Mereka mengambil gulungan-gulungan itu," Gutfeld memberitahu BBC. "Mereka juga membuka gulungan-gulungan dan meninggalkan semuanya di merata-rata, kain-kain dan pasu-pasu."

"Syukurlah mereka mengambil hanya gulungan-gulungan itu," dia memberitahu Washington Post. "Mereka meninggalkan semua bukti-bukti bahawa ada gulungan-gulungan di situ."

Pada 2011, Google dan Muzium Israel di Yerusalem telah memaparkan lima daripada beratus-ratus manuskrip Laut Mati kepada umum secara online, seperti yang telah kami laporkan.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel NPR bertajuk, "Archaeologists Escavate 12th Cave They Say Once Housed Dead Sea Scrolls" yang ditulis oleh Rebecca Hersher bertarikh 9 Februari 2017)