Selasa, 28 Februari 2017

Anak Pastor Bimbang Ayahnya Telah Diculik Untuk Dibunuh


PETALING JAYA: Anak kepada Pastor Raymond Koh telah membuat laporan polis yang kedua atas syak bahawa ayahnya telah diculik untuk dibunuh oleh penculik-penculiknya.

Dalam laporannya di balai polis Kelana Jaya semalam, Jonathan berkata bahawa 14 hari telah berlalu sejak laporan kehilangan yang pertama dibuat dan meskipun ganjaran telah ditawarkan, keluarga itu tidak menerima sebarang maklumat atau tuntutan bayaran tebusan.

Jonathan berkata laporan yang dibuat itu berdasarkan Seksyen 364 Akta Keseksaan, iaitu menculik untuk membunuh - jenayah yang boleh membawa hukuman mati atau hukuman penjara untuk tempoh yang boleh melebihi 30 tahun.

Jika tidak dihukum mati, penjenayah-penjenayah itu juga boleh dikenakan hukuman rotan.

Jonathan menyifatkan penculikan ayahnya pada 13 Februari sebagai "operasi profesional" berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) atas penculikan itu, yang telah diserahkan kepada polis.

Dia merayu kepada polis untuk melakukan siasatan yang menyeluruh untuk menangkap penculik-penculik itu.

Rakaman yang telah diperolehi oleh keluarga itu menunjukkan operasi yang dilaksanakan dengan cekap oleh sekumpulan lelaki bertopeng dalam tujuh kenderaan, termasuk dua motosikal.

Ianya menunjukkan tiga kereta SUV hitam atau gelap memaksa Honda Accord yang dipandu oleh Koh untuk berhenti di Jalan SS4b/10 di Kelana Jaya. Kenderaan-kenderaan itu menghadangnya, dengan sebuah berhenti di hadapannya, sebuah lagi ditepinya dan yang ketiga di belakangnya.

Lelaki-lelaki dari ketiga-tiga kereta itu meluru keluar dan sesaat kemudian sebuah kereta sedan berhenti di belakang kereta terakhir yang menghadang kereta Honda Koh.

Sebelum pun kereta sedan itu berhenti sepenuhnya, pintu penumpang depan terbuka dan seorang lelaki meluru keluar dan menyertai gerombolan itu.

Rakaman itu menunjukkan keriuhan di sekeliling Honda Accord milik Koh sebelum kereta kelima berhenti di belakang lagi dan seorang lelaki bergegas keluar dari tempat duduk penumpang depan.

Dia serta-merta memberi isyarat kepada sebuah Myvi, yang dipandu oleh orang awam, untuk undur dari tempat itu.

Kereta Myvi itu kelihatan berundur lebih kurang 50 kaki atau lebih dan seorang yang menunggang motosikal berhenti di hadapannya.

Seorang lagi penunggang motosikal sedang menunggang di sekeliling seolah-olah untuk membuat sempadan di sekeliling tempat kejadian penculikan itu.

Kemudian, semua kereta, termasuk kereta Honda milik Koh kelihatan dipandu laju dari situ.

Seluruh kejadian itu berlaku dalam kurang daripada satu minit.

Koh, 62 tahun, telah diculik dalam perjalanannya ke rumah seorang kawan di Kelana Jaya. Polis telah menjumpai nombor pendaftaran kereta Koh di jalan raya di tempat kejadian.

Menurut seorang penduduk di kawasan itu, isterinya sedang mencuci kain di halaman depan rumah apabila dia mendengar bunyi yang kuat.

"Dia menyangka berlaku kemalangan dan melihat kekecohan berlaku sebelum kereta-kereta itu dipandu pergi," katanya.

Keluarga Koh menawarkan ganjaran sehingga RM100,000 untuk pengembalian Koh yang selamat.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Star bertajuk, "Pastor's Son Fears Father Was Kidnapped To Be Murdered" bertarikh 28 Februari 2017)