Isnin, 6 Mac 2017

Pemimpin Islam Sertai Ratusan Doakan Keselamatan Aktivis Kristian Diculik


SHAH ALAM: Kira-kira 300 orang menyertai sebuah perhimpunan di luar Plaza Masalam di sini malam tadi, menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan Raymond Koh, pastor Kristian yang diculik sejak bulan lalu di Petaling Jaya.

Isteri Koh, Susanna Liew, merayu penculik membebaskan suaminya.

“Tolong, tolonglah lepaskan dia. Dia seorang yang baik. Dia membantu orang miskin, golongan terpinggir dan mereka yang memerlukan,” katanya dalam ucapan penuh emosi.

Turut hadir ialah pemimpin Amanah, Mohamed Sabu dan Datuk Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi Pertubuhan Ikram Malaysia Selangor Norazmi Mat Noh, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen, Speaker Selangor Hannah Yeoh, Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin dan Adun Seri Andalas Xavier Jayakumar.

Mujahid berkata penculikan Koh itu mungkin ada kaitan dengan agama, manakala Norazmi mempersoalkan sikap pihak berkuasa yang seolah-oleh tidak proaktif.

“Sekiranya seorang imam yang diculik, saya rasa tindak balasnya lebih pantas daripada itu,” kata Norazmi.

Koh, 62, sedang memandu keretanya sebelum ditahan beberapa lelaki bertopeng yang tiba dengan 3 kenderaan MPV di tepi Jalan SS4B/10, Kelana Jaya, kurang 100 meter dari kompleks perumahan polis.

Video penculikannya dimuat naik di YouTube, menunjukkan bagaimana pengguna jalan raya lain disuruh beredar dari situ sejurus selepas Koh diberkas.

Penganjur perhimpunan malam tadi, SM Yee merancang berkumpul di luar Ibu Pejabat Polis Selangor di Shah Alam, tetapi diarahkan berpindah ke Plaza Masalam.

Yee dalam ucapannya mempersoalkan ketiadaan apa-apa tindakan susulan penculikan Koh.

“Tiga minggu sudah berlalu. Beliau masih hilang tanpa sebarang komunikasi daripada penculiknya mahupun perkembangan siasatan polis.

“Ini menunjukkan sesiapa sahaja boleh diculik di siang hari.”

Koh yang merupakan pengasas pusat kebajikan Harapan Komuniti pernah terlibat dalam satu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor di sebuah gereja pada 2011.

Serbuan itu dilakukan ketika majlis makan malam amal bagi mengumpul dana.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah menyoal siasat beberapa saksi kejadian culik itu, dan menubuhkan sebuah pasukan khas di bawah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Fadzil Ahmat.





(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Pemimpin Islam Sertai Ratusan Doakan Keselamatan Aktivis Kristian Diculik" yang ditulis oleh Terrence Tan bertarikh 6 Mac 2017)