PETALING JAYA: Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menawarkan diri
untuk berunding dengan penculik Pastor Raymond Koh yang hilang sejak 13
Februari lalu, jika benar kebencian agama menjadi motif penculikan itu.
Naib presiden Amanah itu berkata demi menjaga nama baik
Islam, beliau sanggup berunding dengan penculik kerana Islam tidak mengajar
manusia saling membenci hanya kerana kepercayaan seseorang.
“Jika ada dakwaan usaha pemurtadan ia perlu dibuktikan di
mahkamah dan bukan diambil tindakan mengikut keputusan sendiri,” katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan
SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13
Februari. Mangsa memandu kereta Honda Accord berwarna perak dengan nombor plat
ST 5515 D.
Malam tadi, lebih 300 orang berkumpul pada acara “vigil”
memasang lilin berhampiran Plaza Masalam di Seksyen 9, Shah Alam, untuk
menonjolkan kekurangan maklumat polis berhubung penculikan itu, dengan ramai
yang bimbang ia mungkin jenayah didorong oleh keagamaan.
Mujahid yang turut menyertai acara itu malam tadi berkata
motif penculikan masih tidak diketahui dan tidak tahu sama ada ia kena mengena
dengan kononnya penglibatan Koh dalam usaha pemurtadan atau beliau hanya
diculik.
“Tetapi agak pelik kerana hingga kini tiada tuntutan wang
diminta penculik.
“Jika motif penculik kerana kebencian agama, ia amat malang
bagi negara ini ia kerana menandakan unsur ekstremisme dan keganasan semakin
berani menonjolkan dirinya dan mencabar ketenteraman awam,” katanya.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata penculikan Koh pada
siang hari di kawasan kejiranan menimbulkan pelbagai persoalan termasuk tentang
keselamatan awam dan motif penculikan di mana ia menjadi asas kebimbangan –
adakah kita selamat fizikal dan mental daripada penjenayah yang menggugat
keselamatan awam.
Katanya, Koh sebelum ini pernah menerima ancaman menerusi
kiriman 2 peluru hidup pada 2011 dan mangsa dikaitkan dengan “usaha pemurtadan”
melalui NGO Komuniti Harapan yang dipimpinnya, namun sehingga kini tiada bukti
kepada tuduhan ini apatah lagi dakwaan di mahkamah.
“Serbuan ke gereja DUMC pada 2011 oleh JAIS juga menimbulkan
kekeruhan hubungan beragama di Malaysia dan kes ini selesai tanpa bukti
pendakwaan,” katanya.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke rumah rakannya
di Kelana Jaya ketika diculik dan menerusi rakaman CCTV, penculikan itu nampak
terancang membabitkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.
Keluarga Koh menawarkan habuan RM100,000 untuk mendapatkan
maklumat di mana beliau berada.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Mujahid Sanggup Berunding Dengan Penculik Pastor Koh" bertarikh 6 Mac 2017)