Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata pendirian itu mengambil kira reaksi orang ramai serta sensitiviti masyarakat berhubung penganjuran konsert berkenaan ketika ini.
Beliau berkata polis setakat ini, menerima dua laporan
berkaitan acara terbabit dan akan terus menjalankan pemantauan, termasuk
mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan.
“Berdasarkan siaran dalam media massa berkaitan dengan
konsert ini, kita mendapati banyak reaksi daripada orang ramai termasuk dua
laporan polis dibuat kerana dikatakan bahawa penganjuran ini tidak sesuai
diadakan ketika ini.
“Memandangkan namanya itu ialah Israel Houghton menyebabkan
ia dilihat sebagai sesuatu yang menimbulkan isu sensitiviti dalam kalangan
masyarakat.
“Kerajaan negeri akan meminta pandangan daripada pihak PDRM
dan memandangkan keadaan sensitiviti sekarang, kita akan menasihatkan supaya
konsert ini tidak diadakan dahulu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat
Polis Kontinjen Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.
Jauteh berkata kerajaan negeri juga difahamkan masih belum
menerima permohonan rasmi daripada pihak penganjur walaupun acara berkenaan
dipromosikan dengan maklumat termasuk tarikh, lokasi dan harga tiket.
Beliau berkata konsert itu dikatakan dijadualkan berlangsung
dari 22 Okt hingga 25 Okt di beberapa lokasi di Kota Kinabalu dan sebahagian
daripada jelajah antarabangsa penyanyi berkenaan, dengan Sabah antara lokasi
persembahannya di Malaysia.
Israel Houghton merupakan seorang penyanyi, penulis lagu
serta pemuzik gospel dan Kristian kontemporari dari Amerika Syarikat yang turut
dikenali menerusi kumpulan Israel & New Breed.
Beliau memenangi lapan Anugerah Grammy daripada 19
pencalonan, termasuk kemenangan terbaharu bagi Album Muzik Kristian
Kontemporari Terbaik menerusi Coritos Vol. 1 pada Anugerah Grammy 2026.
Houghton sebelum ini pernah menyatakan sokongan terhadap
Israel menerusi hantaran di Instagram pada 8 Okt 2023.
- Bernama
