Khamis, 17 September 2026

Pemimpin Gereja Berperanan Besar Dalam Pembinaan Negara – Ewon


KOTA KINABALU: 17 September 2026 — Pemimpin dan institusi gereja mempunyai peranan besar dalam membina Malaysia yang aman, bersatu dan harmoni.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sumbangan gereja di Sabah bukan hanya dalam aspek kerohanian, tetapi turut meliputi pendidikan, kebajikan, pembangunan belia, pengukuhan keluarga dan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Semua ini merupakan sumbangan yang amat bermakna kepada pembangunan masyarakat Sabah secara keseluruhannya,”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malaysia Day of Prayer (MDOP) 2026 – Ecumenical Prayer Service di All Saints’ Cathedral, kelmarin.

Tambah beliau, penganjuran program pada Hari Malaysia turut mengingatkan rakyat mengenai perjalanan pembentukan Malaysia dan kedudukan Sabah dalam pembentukan Malaysia.

Menurutnya, kepelbagaian suku kaum, budaya dan agama di Sabah perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati dan persefahaman.

“Saya percaya gereja-gereja di Sabah boleh terus menjadi contoh bagaimana kesatuan dapat diterjemahkan melalui hubungan yang baik dan pelayanan kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan gereja-gereja di Sabah terus membantu golongan memerlukan, memperkukuh institusi keluarga dan membimbing generasi muda.

Beliau turut menyeru gereja supaya membina hubungan dengan pelbagai pihak demi kesejahteraan rakyat Sabah.

MDOP 2026 bertemakan “That We May Be One – One in Christ, Proclaiming Hope, Serving Communities” atau “Supaya Kita Menjadi Satu – Satu dalam Kristus, Memberitakan Pengharapan, Melayani Masyarakat”.

Upacara anjuran bersama Council of Churches of Malaysia (CCM) dan Sabah Council of Churches (SCC) itu turut disertai komuniti Kristian dari seluruh Malaysia menerusi siaran dalam talian. 

(Diambil daripada artikel TV Sabah bertajuk, "Pemimpin Gereja Berperanan Besar Dalam Pembinaan Negara – Ewon" oleh roodwill bertarikh 17 September 2026)