Khamis, 8 Oktober 2026

Ketua Umno Sepang Didakwa Berhubung Ucapan Kontroversi


KUALA LUMPUR: Ketua Umno Sepang Noorazli Said mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan penganut Kristian menerusi ucapannya bulan lalu.

Noorazli, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Mengikut pertuduhan, Noorazli didakwa sengaja melukakan perasaan agama seorang individu, Xenia Lok Zou Chieh, menerusi ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno 2026.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 11.20 pagi, 12 Sept lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Jalan Tun Ismail di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhly Zamry mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Noorazli, Hasnal Rezua Merican, memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada sekitar RM4,000 hingga RM5,000.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nurul Izzah membenarkan Noorazli diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 18 Nov depan untuk sebutan semula kes.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Ketua Umno Sepang Didakwa Berhubung Ucapan Kontroversi" oleh Faisal Asyraf bertarikh 8 Oktober 2026)