Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata
permohonan maaf tidak sepatutnya dijadikan “butang reset” selepas seorang ahli
politik melampaui batas.
“Pertanggungjawaban politik tidak boleh sekadar bermaksud
memohon maaf selepas melampaui batas. Ia juga mesti bermaksud mempunyai
pertimbangan untuk tidak melampaui batas itu sejak awal lagi,” katanya sebagai
respons terhadap kenyataan Noorazli di Facebook.
Noorazli yang sebelum ini menjawab gesaan Ketua Pemuda Umno
Dr Akmal Saleh supaya dia memohon maaf, berkata dia tidak berniat menghina
mana-mana pihak atau agama dan “bersedia memohon maaf sekiranya kenyataannya
menimbulkan salah faham”.
Bagaimanapun, Syerleena berkata pembelaan itu memburukkan
lagi keadaan kerana pemimpin politik sepatutnya mempunyai pertimbangan
mencukupi untuk tidak mengulang semua perkara yang ditemui dalam talian di
pentas awam.
Katanya, kontroversi itu mencerminkan budaya “cakap dulu,
minta maaf kemudian” yang berulang dalam politik Malaysia.
“Apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Umno bukan sekadar
terlepas cakap. Noorazli memilih untuk menyampaikan jenaka berbaur seksual yang
membabitkan seorang paderi Katolik dan seorang biarawati,” katanya.
“Tiada penganut Kristian yang perlu menjelaskan mengapa
agama mereka wajar dihormati. Tiada wanita yang perlu menjelaskan mengapa
sentuhan tidak diingini bukan bahan jenaka,” tambahnya.
Terdahulu, Norazli berkata dia tidak berniat menghina
mana-mana agama menerusi jenakanya yang mengaitkan paderi dan biarawati
Kristian.
"Kita ambil pengajaran atas cerita, bukan menghina
sesiapa mahupun agama. Kalau tafsiran itu yang diguna pakai boleh menyebabkan
salah faham, saya bersedia minta maaf,” katanya.
“‘Jika anda tersinggung, saya sedia memohon maaf’ dan ‘Apa
yang saya katakan tidak wajar, dan saya memohon maaf’ ialah dua perkara yang
sangat berbeza,” kata Adun Bilut itu dalam kenyataan hari ini.
“Yang pertama mengalihkan isu kepada bagaimana orang lain
mentafsir atau berasa terhadap kenyataan itu.
“Yang kedua pula pengakuan terhadap kesalahan dan penerimaan
tanggungjawab,” tegas Lee, yang mempersoalkan mengapa tokoh daripada agama lain
perlu digunakan untuk jenaka berunsur seksual di sebuah perhimpunan politik.
Dia turut memberi amaran terhadap sikap pilih kasih, sambil
bertanya sama ada penjelasan sama akan diterima jika seorang ahli politik
menggunakan Islam dan tokoh agamanya dalam jenaka seperti itu.
“Jika kita menuntut agama sendiri dihormati, kita juga mesti
memberikan penghormatan sama kepada agama orang lain,” katanya.
Lee turut menggesa Noorazli menarik balik kenyataannya dan
memohon maaf tanpa syarat kepada masyarakat Kristian serta seluruh rakyat
Malaysia.
“Permohonan maaf yang ikhlas tidak memerlukan perkataan
‘jika’,” tambahnya.
Gesa polis siasat
Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa
polis menyiasat sama ada kenyataan Noorazli melanggar mana-mana undang-undang
atau boleh menjejaskan keharmonian antara agama.
Gesaan itu dibuat ketika Catholic Lawyers’ Society of Kuala
Lumpur bersiap sedia membuat laporan polis terhadap Noorazli.
Presidennya, Kevin De Rozario berkata Noorazli secara salah
mengaitkan bahagian penamat jenaka itu dengan Mazmur 129 dan memutarbelitkan
kitab suci untuk jenaka lucah, sehingga menyinggung perasaan penganut Katolik
dan masyarakat Kristian secara lebih luas.
Kok berkata perkara itu tidak boleh diketepikan sebagai jenaka politik apabila tokoh agama dan kitab suci dijadikan bahan jenaka seksual.
Dia turut menggesa Noorazli membuat permohonan maaf secara
terbuka dan jelas kepada masyarakat Kristian, khususnya penganut Katolik.
Noorazli menceritakan jenaka itu ketika memuji kebijaksanaan
politik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan agung parti itu.
Jenaka itu menggambarkan seorang paderi menyentuh paha
seorang biarawati ketika memandu dan didakwa mengaitkan bahagian penamatnya
dengan Mazmur 129.
Namun, ungkapan yang dipetik Noorazli itu sebenarnya tidak
terdapat dalam kitab Bible ayat Mazmur 129 seperti yang diperkatakannya.




