Polis menemui jalan buntu dalam siasatan mereka berhubung
dakwaan kehilangan seorang lagi paderi, Joshua Hilmy dan isterinya.
"Kami telah menyoal siasat pengadu, dan masalahnya
pengadu tidak dapat memberikan sebarang maklumat tentang mereka.
"Dia (pengadu) tidak tahu nombor plat kereta atau
alamat mereka, sesuatu yang akan memberikan petunjuk," kata Ketua Polis
Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din kepada Malaysiakini.
Sebelum ini terdapat laporan polis yang dibuat pada 6 Mac
oleh seseorang yang mendakwa adalah rakan rapat dengan Joshua dan isteri
mengenai kehilangan pasangan itu.
Beliau mendakwa kemungkinan besar bahawa paderi itu
isterinya telah hilang sejak November tahun lalu kerana beliau tidak dapat
berhubungan dengan mereka.
"Ini tidak normal kerana kami sering berhubungan dan
berjumpa antara satu sama lain sekurang-kurangnya beberapa kali setiap bulan.
"Sejak November 2016, beliau tidak menghubungi saya dan
cubaan saya untuk menghubunginya gagal sehingga hari ini.
"Atas sebab-sebab ini, saya percaya bahawa beliau dan
isterinya telah hilang dan saya amat bimbang tentang keselamatan mereka,"
petik laporan itu.
Ketika dihubungi, lelaki itu mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa
beliau memang membuat laporan itu.
Mohd Zani berkata tanpa maklumat asas mengenai pasangan itu,
polis tidak dapat mengesan di mana mereka tinggal dan mengesahkan kehilangan
mereka.
"Apabila kamu menghubungi saya, saya mengarahkan
pegawai penyiasat untuk menghubungi pengadu dan menyoalnya sekali lagi mengenai
maklumat ini tetapi masih tidak ada apa-apa," katanya.
Lelaki yang membuat laporan itu berkata pada mulanya beliau
menyangkakan paderi itu dan isterinya telah pergi bercuti kerana mereka
cenderung berbuat demikian.
Walau bagaimanapun, selepas bercakap dengan rakan-rakan lain
pasangan itu, mereka juga melahirkan kebimbangan dan menasihatkannya untuk
membuat laporan polis.
Beliau juga mengesahkan bahawa polis telah menyoalnya tetapi
mengakui tidak dapat membekalkan mereka dengan maklumat lengkap tentang paderi
itu dan isterinya.
"Dua bulan lalu, saya ada nombornya. Saya cuba
memanggilnya dan tidak pernah mendapat jawapan.
"Selepas itu, saya memadamkan nombor itu, jadi saya tidak mempunyai nombor itu lagi," katanya.
Pasangan itu juga tidak mempunyai ramai saudara-mara yang
boleh dihubungi, katanya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Seorang Lagi Paderi Didakwa Hilang" yang ditulis oleh Geraldine Tong bertarikh 14 Mac 2017)