Foto keratan akhbar Harian Ekspres, 18 April 2017 |
NABAWAN: Andiman Sinayung yang berusia 73 tahun melihat kedatangan unit bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Tamu Nabawan sebagai satu rahmat kerana MyKad lamanya sudah usang dan rosak.
Bapa kepada 12 anak itu menunjukkan MyKad lamanya kepada pegawai yang bertanggungjawab dan memberitahunya bahawa dia ingin memohon MyKad baharu yang mempunyai foto kecil bersebelahan dengan foto besar.
"Pada masa itu, pegawai tersebut bertanya kepada saya tentang agama saya dan saya memberitahunya bahawa saya adalah sorang Kristian. Selepas itu, dia memberitahu saya untuk mengambil MyKad baharu saya di pejabat JPN Nabawan selepas sebulan," katanya.
MyKad lamanya yang digantikan tidak mempunyai perkataan "Islam" padanya. Sebulan kemudian, pada Jun 2016, dia pergi mengambil MyKad baharu itu.
"Saya tidak tahu membaca. Jadi pada masa itu, saya tidak sedar bahawa MyKad baharu saya diletakkan perkataan Islam padanya," katanya.
Kristian SIB itu berkata dia cuma menyedarinya apabila dia membantu persiapan perkahwinan anaknya di Kuching, Sarawak.
Semasa di sana, dia berkata, pegawai JPN memberitahu anaknya bahawa dia tidak boleh berkahwin di gereja di Kuching kerana Andiman mempunyai perkataan "Islam" pada MyKad-nya.
Selain itu, dia berkata pegawai itu turut memberitahu anaknya bahawa pejabat tidak boleh menghasilkan sijil perkahwinan selagi perkataan "Islam" itu kekal di MyKad-nya.
"Ini telah menyebabkan kesulitan yang amat besar kepada saya dan keluarga saya. Saya amat marah dengan penipuan JPN.
"Anak saya akan kahwin pada 3 Jun tahun ini dan seluruh keluarga saya, serta rakan-rakan kami, telahpun membayar tiket dan penginapan kami di Kuching," katanya.
Dia sedar bahawa selagi masalah itu tidak diselesaikan, perkahwinan anaknya mungkin terpaksa ditangguhkan.
Dalam usaha membetulkan situasi ini, dia berkata, dia dan isterinya akan pergi ke pejabat JPN di Keningau.
"Saya cuma mahu masalah ini pergi. Ini bukan salah saya," katanya dengan tegas.
Sementara itu, Persatuan Anak Negeri (PAN), Pengerusi Esther Golingi menggesa JPN untuk berlaku jujur dalam urusan mereka dengan orang pribumi di kawasan perkampungan.
"Ramai orang di Nabawan mengadu bahawa JPN Nabawan adalah tidak membantu. Ini bukan kata-kata saya. Ini adalah kata-kata masyarakat Nabawan. Kami berharap pemimpin tempatan akan campur tangan dan meneliti masalah yang dialami orang kita."
"Kesilapan seperti dalam kes Andiman bukan kesilapan biasa. Lihatlah berapa banyak masalah yang terpaksa diharungi anak dan keluarganya," kata Esther.
Dia berkata persatuan itu akan melakukan semua yang mereka mampu untuk membantu Andiman dan keluarganya.
"Kes ini berpunca daripada JPN dan saya berharap jabatan tidak akan cuba mengarahkan Andiman ke Jheains atau Mahkamah Syariah kerana ianya adalah tidak adil untuk mangsa melalui kesulitan tersebut kerana kesilapan JPN. Ini bukan kes terpencil. Ini pernah berlaku dan sedang berlaku di seluruh Sabah," katanya.
(Diambil daripada artikel Harian Ekspres bertajuk, "Lelaki 73 Tahun Dakwa 'Islam' Ditambah Unit Bergerak JPN" yang ditulis oleh Tracy Patrick bertarikh 18 April 2017)