Grafik Utusan Malaysia |
CYBERJAYA 18 April - Purata golongan belia negara ini
mempunyai empat akaun media sosial dan menghabiskan selama empat jam sehari
melayari media sosial berbanding trend masyarakat dunia kini, dua jam sehari.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani
Johari berkata, golongan berkenaan yang berusia 15 hingga 40 tahun merupakan
77 peratus daripada lebih 24 juta pengguna internet di negara ini.
Menurutnya, statistik itu berdasarkan dapatan kajian
pengguna internet yang dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)
pada tahun lalu.
Katanya, statistik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia
Malaysia juga menunjukkan kira-kira 63 peratus belia menggunakan laman sosial
pada masa lapang mereka.
“Ini jelas menunjukkan betapa signifikannya pengaruh
internet dalam kehidupan seharian belia Malaysia.
Grafik Utusan Malaysia |
“Namun begitu, sejak kebelakangan ini statistik aduan
berkaitan media baharu pula menunjukkan peningkatan bilangan terutama yang
berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis
Pelancaran Program Advokasi Melalui Penglibatan Strategik Antara Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM)
Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Berdasarkan laporan ‘Pew Social Media Update 2016’ trend masyarakat
dunia kini, menghabiskan masa selama dua jam sehari di media sosial.
Dalam pada itu, Jailani memberitahu, sejak 2015 sehingga
Oktober lalu, SKMM telah menyekat sebanyak 5,044 laman web melibatkan pelbagai
kesalahan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 4,277 kes melibatkan
laman web lucah, jelik dan mengancam keselamatan manakala 767 lagi berkaitan
isu perjudian, pelacuran serta cetak rompak.
(Dipetik daripada artikel Utusan Malaysia bertajuk, "Belia Habiskan Empat Jam Sehari Layari Media Sosial" yang ditulis oleh Sofian Baharom bertarikh 19 April 2017)