Rabu, 19 April 2017

Polis Haadyai: Tidak Ada Laporan Mengenai Penculikan Peter Chong


BANGKOK: Polis belum menerima sebarang laporan mengenai dakwaan aktivis Peter Chong bahawa dia telah diculik di bandar Haadyai dan dibawa ke Pattaya baru-baru ini, begitu kata Ketua Polis Haadyai Col Kittichai Santatavorn.

Polis Haadyai akan membuat laporan terhadap Chong kerana membuat dakwaan palsu jika dibuktikan bahawa tidak ada laporan polis mengenai penculikan yang didakwa itu, dia memberitahu Bernama ketika dihubungi pada hari Isnin. 

Bagaimanapun, dia berkata polis akan terus menyiasat dakwaan Chong, yang juga merupakan bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, dengan terus membuat semakan di semua balai polis berdekatan dan juga polis pelancong di Haadyai.

Kittichai berkata dia juga akan menghubungi polis Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan aktivis itu bahawa dia telah diculik di Haadyai, satu destinasi popular untuk pelancong-pelancong Malaysia. 

"Kita mahu tahu daripadanya di manakah dia membuat laporan polis (jika dia telah membuat laporan polis)," tambahnya.

Pada hari Ahad, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh telah dilaporkan mengatakan bahawa Chong telah memberitahu polis bahawa dia telah diculik sewaktu di Haadyai dan dan telah dibawa ke Pattaya sebelum dilepaskan untuk kembali ke rumah. 

Menurut Amar Singh, aktivis itu berkata dia berada di Haadyai untuk bertemu sumbernya mengenai kes Pastor Raymond Koh yang kehilangan sebelum dia (Chong) diculik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitternya telah mendedahkan bahawa Chong yang dilaporkan hilang sejak 6 April telah kembali dari Pattaya.

Chong telah dilaporkan hilang setelah dia dilihat kali terakhir di kediamannya di Bukit Ceylon di sini sebelum polis mendapati bahawa dia telah memasuki negara Thai melalui stesen pemeriksaan imigresen Bukit Kayu Hitam di Kedah, pada hari berikutnya. - Bernama

(Diterjemah daripada artikel The Star bertajuk, "Haadyai Police: No Report On Peter Chong's Abduction" bertarikh 17 April 2017)