Khamis, 20 April 2017

Peter Chong Pertahan Dakwaan Culik


PETALING JAYA: Aktivis Peter Chong akhirnya bersuara mengenai kehilangannya selama 2 minggu itu dan mempertahankan dakwaan dirinya diculik di Thailand.

Dalam catatannya di Facebook, Peter berkata beliau cuba melaporkan penculikannya ke balai polis Pattaya, tempat di mana beliau dibebaskan selepas ditahan tanpa kerelaan selama 3 hari di Hatyai.

“Tetapi, pegawai di situ beritahu saya supaya membuat laporan polis di balai polis Hatyai, yang berada di luar bidang kuasanya, kerana saya ditahan tanpa kerelaan di Hatyai,” katanya.

Bekas ahli majlis Petaling Jaya menjawab laporan memetik Ketua Polis Hatyai Kittichai Sankatavorn sebagai berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai dakwaan penculikan Peter.

Kittichai berkata polis Hatyai akan membuat laporan polis terhadap Peter kerana membuat dakwaan palsu jika didapati tiada laporan polis dibuat mengenai penculikannya.

Ketua Polis Pattaya Kolonel Apichai Krobpet mengesahkan tiada laporan dibuat.

Peter akan “cuba membuat laporan polis di kedutaan Thailand” apabila sudah bersedia, dan “sekiranya gagal mungkin akan ke Hatyai”.

“Saya percaya ia amat penting dan perlu dilakukan.”

Peter dalam kenyataannya mengesahkan maklumat yang diberikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh kepada media adalah tepat dan berdasarkan keterangannya kepada polis.

“Terserah kepada polis untuk melepaskan butiran mengenai saya ditahan tanpa kerelaan serta sebab-sebabnya, yang menjadi sebahagian daripada siasatan.”

Beliau kemudian menyatakan penghargaan kepada polis Pattaya kerana membantu beliau pulang ke tanahair dan profesionalisme polis Malaysia menangani laporan orang hilang yang dibuat keluarganya.

“Saya meminta maaf atas sebarang kesedihan dan kebimbangan yang mereka lalui.”

Peter dilaporkan hilang 5 April lepas dan pasukan petugas polis ditubuhkan untuk menjejakinya. 

Pada Ahad, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan kepulangan Peter dari Pattaya.

Polis mengambil keterangannya apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Peter beritahu polis beliau pergi ke Hatyai pada 7 April untuk menemui sumber yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh.

Peter kemudian mendakwa beliau diculik dan dibawa ke Pattaya, sebelum dilepaskan. Anaknya kemudian membeli tiket penerbangan untuk beliau pulang ke Kuala Lumpur.

Khalid semalam melahirkan rasa kecewa di atas kisah kehilangan Peter itu kerana membazirkan masa dan tenaga polis.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Peter Chong Pertahan Dakwaan Culik" bertarikh 19 April 2017)