Sepanjang seminggu dua ini, saya sedang mengejar satu matlamat untuk blog ini. Esok (9 April) adalah ulangtahun yang ke-6 blog domba2domba, dan saya sedang berusaha mencapai jumlah pageview sebanyak 3 juta sempena ulang tahun blog.
Biasanya saya tidak letak sasaran begitu untuk blog saya. Tapi kebetulan, seminggu dua ini, saya melihat bahawa jumlah pageview semakin mendekat ke 3 juta, jadi saya membuat cabaran bagi diri saya... dapatkah saya mencapai 3 juta paparan halaman sempena 9 April?
Saya merasa teruja apabila dari hari ke hari, paparan halamannya semakin mendekat ke sasaran. Namun seperti yang saya sangka, saya juga terasa tertekan untuk menghasilkan artikel untuk menambah kunjungan para pembaca. Dan saya terpaksa mengaku, saya tak mahu selalu mengalami stres seperti itu!
Semasa menulis ini, paparan halamannya sudah sampai 2,989,002, bererti saya perlu mendapatkan lagi 10,998 paparan halaman untuk mencapai sasaran itu. Adakah saya akan berjaya?
Ketika saya bangun pagi ini, saya mula memikirkan matlamat saya menulis blog. Dan saya terfikir bahawa matlamat saya bukanlah untuk mengejar kuantiti paparan halaman yang tertentu.
Apa yang harus menjadi matlamat saya adalah tiga perkara ini.
a) Menghasilkan artikel yang ber(kualiti)
Saya masih ingat bahawa adik ipar saya yang berkecimpung dalam industri internet sering mengatakan kepada saya dahulu, "On the Net, Content is King." Maksudnya ialah, kita boleh buat laman web yang cantik dan menarik, tetapi pada akhirnya kandungan yang paling utama. Kandungan yang bagus akan menarik orang untuk datang berkali-kali mengunjungi sesuatu laman.
Jadi itulah matlamat yang saya ingin lakukan dengan blog ini, bukan menumpukan kepada kuantiti, tetapi kualiti, agar para pembaca yang mengunjungi blog ini akan mendapat manfaat daripadanya.
b) Menghasilkan artikel yang kreatif
Oleh kerana kemajuan teknologi maklumat (IT), maka amat mudahlah untuk kita mencari maklumat yang bagus dari merata dunia. Apakah yang akan menarik orang melawat blog ini sedangkan terdapat begitu banyak laman web dan blog yang menarik dari seluruh dunia?
Saya fikir jawapannya adalah untuk menyampaikan kandungan yang bagus dengan cara yang kreatif. Jujur, saya belum pakar dalam penggunaan alat dan bahan di internet, tapi saya sedang belajar, dan harapan saya ialah dapat menyajikan artikel yang bagus dengan cara yang menarik untuk kawan-kawan dan para pembaca.
c) Menghasilkan artikel dengan konsisten
Saya telah belajar bahawa dalam penulisan blog, penghasilan artikel secara konsisten adalah kunci utama untuk kawan-kawan dan para pembaca berulangkali mengunjungi blog ini.
Jika saya tidak menulis dengan konsisten, dan hanya sekali-sekala dalam sebulan atau dua, maka para pembaca tidak ada sesuatu yang baru yang mereka dapat jangka dan perolehi daripada blog ini.
Saya mengucap syukur kepada Tuhan, sebab dari permulaan blog ini, saya rasa Tuhan telah memberi saya strategi yang baik untuk menulis blog. Sebab dari mula lagi, saya membuat keputusan membuat apa yang saya mampu. Saya hanya dapat menyediakan satu artikel dalam seminggu, tapi saya pastikan bahawa setiap minggu, saya akan ada sekurang-kurangnya satu artikel baru.
Setelah beberapa tahun menulis blog, saya telah menaikkan sasaran saya kepada dua artikel per minggu. Sebenarnya saya boleh menulis lebih dari dua artikel setiap minggu sekarang, tapi saya lebih suka meletakkan target minima dua artikel supaya saya tidak rasa tertekan.
Kesimpulannya...
Itulah sebabnya juga saya tidak akan selalu meletakkan sasaran paparan halaman sempena setiap ulang tahun blog. Saya tidak suka rasa terlalu stres, dan itu tidak memberi saya sukacita. Jadi kali ini untuk Ulangtahun yang ke-6, saya memang sudah letak sasarannya, tetapi saya mengingat kembali bahawa matlamat saya menulis blog bukan untuk mencapai kuantiti tertentu, tetapi untuk menghasilkan artikel yang berkualiti, kreatif dan konsisten.
Terima kasih kawan-kawan dan para pembaca yang selalu mengunjungi blog ini. Saya berharap dapat terus menulis (atau menterjemah) artikel yang bagus untuk anda pada bulan-bulan mendatang.
Segala ucapan syukur kepada Tuhan yang telah memberi inspirasi dan kekuatan kepada saya sepanjang enam tahun penulisan blog ini. Puji Tuhan!
(Oh ya, saya akan muatkan esok di bawah ini, cetakan skrin jumlah paparan halamannya, samada saya dapat mencapai sasaran 3 juta paparan halaman itu!)
Update 9 April 2017 - Akhirnya tercapai juga 3 juta pageview (paparan halaman) pada 3.47 petang tadi! Ini setelah 6 tahun penulisan dan 947 artikel diterbitkan! Puji Tuhan!
Update 9 April 2017 - Akhirnya tercapai juga 3 juta pageview (paparan halaman) pada 3.47 petang tadi! Ini setelah 6 tahun penulisan dan 947 artikel diterbitkan! Puji Tuhan!