AHLI Dewan Undangan (Adun) Subang Jaya dan Speaker Selangor
Hannah Yeoh tidak terganggu walaupun terdapat laporan polis dibuat terhadapnya
kerana "cubaan mempengaruhi orang Islam kepada agama Kristian".
"Peristiwa dialami adalah benar dan saya memberitahu
cerita peribadi saya seperti dalam buku ‘Becoming Hannah’. Tanpa Tuhan, saya
tiada apa dan tidak malu untuk mengatakannya,” kata beliau dalam posting di
Facebook miliknya pagi ini.
“Becoming Hannah: A Personel Journey” adalah autobiografi
Yeoh dan menyentuh perjalanannya sebagai isteri, ibu dan ahli politik. Yeoh,
seorang peguam, menyertai politik pada 2008 dan dipilih sebagai Adun Subang
Jaya tahun yang sama.
Pra-pelancaran buku itu diadakan pada 2014 dan secara rasmi
dilancarkan setahun kemudian.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Yusoff hari
ini membuat laporan polis terhadap Yeoh di Kedah, meminta polis menyiasat sama
ada ahli politik itu “berdakwah” kepada umat Islam melalui bukunya.
Pensyarah sains politik itu berkata, beliau membeli buku
Yeoh kerana berminat dengan apa yang ahli politik lakukan dan sumber inspirasi
mereka.
"Tetapi apa yang buku itu katakan, betapa beruntungnya
menjadi seorang Kristian dan bagaimana Tuhan Kristian penyayang dan baik,"
Kamarul berkata.
Buku ini juga mengandungi bahagian bagaimana Yeoh berkata
sering menerima “prophecy” (pengetahuan mengenai masa depan) tepat daripada
Tuhan termasuk akan bekerjasama dengan negarawan dan pemerintah. Buku ini juga
mencatatkan "keajaiban" Yeoh, kata Kamarul.
"Semua cerita beliau secara tidak sengaja mengilhamkan
pembaca termasuk saya, kekaguman terhadap tuhannya.”
Dan memandangkan buku itu boleh didapati secara meluas,
Kamarul berkata Yeoh mungkin melanggar undang-undang di bawah Seksyen 4 (1) (a)
Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Ugama Bukan Islam) Selangor 1988.
"Saya tidak takut. Berani kerana benar. Saya tidur lena
di malam hari kerana tidak mencuri wang mana-mana pembayar cukai dan tidak
rasuah,” kata Yeoh memberitahu The Malaysian Insight apabila ditanya mengenai
laporan polis itu.
Beliau juga percaya akan dinilai berdasarkan prestasinya
sebagai wakil rakyat oleh penduduk di Subang Jaya yang sejak sembilan tahun
dicurahkan khidmat bakti. – 17 Mei, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Hannah Yeoh Pertahan Pengalaman Peribadi Sebagai Kristian Dalam Buku" yang ditulis oleh Muzliza Mustafa bertarikh 17 Mei 2017)