Rabu, 17 Mei 2017

Bimbang Dirinya Kagum "Tuhan Hannah Yeoh", Pensyarah Buat Laporan Polis


PETALING JAYA: Seorang ahli akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini berkata sebuah buku karangan Speaker Selangor, Hannah Yeoh yang dibelinya mampu mengubah dirinya sehingga terdorong terhadap ajaran Kristian.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia UUM, Kamarul Zaman Yusoff berkata ini kerana kandungan buku itu “terlalu banyak kisah dan petikan dari Bible”.

“Kesemua cerita ini boleh mendorong pembacanya, termasuk saya, merasa kagum dengan kehebatan Tuhan Hannah Yeoh,” kata Kamarul dalam laporan polis yang turut disiarkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily, hari ini.

Kamarul membuat laporan polis terhadap Yeoh pagi tadi sebagai membalas laporan polis wakil rakyat DAP itu sebelum ini.

Laporan polis Yeoh 2 hari lalu berhubung muat naik di Facebook milik Kamarul bertajuk “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP”, yang antara lain menuduh DAP mencampur adukkan ajaran Kristian dengan politik.

Buku “Becoming Hannah” merupakan biografi Yeoh, yang memenangi DUN Subang Jaya pada 2008 dengan majoriti besar, sebelum dilantik menjadi speaker paling muda pada usia 34 pada 2013.

Kamarul berkata buku itu cuba “memujuk, mempengaruhi, atau menghasut” orang bukan Kristian supaya menjadi penganut atau cenderong kepada ajaran Kristian.

“Begitu juga seruan Hannah Yeoh agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia… (muka surat 110), ditambah tindakan beliau mengaitkan diri dengan cita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam,” kata Kamarul.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today, "Bimbang Dirinya Kagum 'Tuhan Hannah Yeoh', Pensyarah Buat Laporan Polis" bertarikh 17 Mei 2017)