SEORANG pensyarah universiti membuat laporan polis terhadap
Hannah Yeoh selepas speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu membuat laporan
bukunya dituduh memurtadkan orang-orang Melayu.
Laporan balas oleh pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia
Kamarul Yusoff itu susulan tindakan Yeoh membuat laporan polis terhadapnya
mengenai posting Facebook pada 10 Mei yang menuduh DAP bersikap hipokrit dalam
perkara melibatkan Islam.
Kamarul menamakan Yeoh, yang berpegang kuat dengan ajaran
Kristian, sebagai contoh DAP hanya mengambil berat tentang memisahkan agama
daripada politik jika ia melibatkan Islam.
"Saya terkejut apabila buku itu mempunyai banyak cerita
dan petikan daripada Bible Kristian. Saya rasa buku ini cuba memujuk,
mempengaruhi, atau menghasut orang bukan Kristian untuk memeluk agama
Kristian," tulis Kamarul pada laman Facebooknya pada pagi ini. Posting Facebooknya mengandungi sekeping foto dirinya di luar Balai Polis Changloon pagi ini.
Pensyarah sains politik itu berkata dia telah membeli buku Yeoh kerana dia berminat mengenai apa yang dilakukan oleh ahli-ahli politik dan apa yang menginspirasikan mereka.
"Tapi apa yang dikatakan buku itu adalah betapa baiknya menjadi orang Kristian dan betapa Tuhan Kristian itu adalah Tuhan yang penuh kasih, baik dan adil," kata Kamarul.
Buku itu juga mengandungi bahagian-bahagian di mana Yeoh mengatakan dia telah menerima "nubuatan" bagaimana dia akan pada suatu hari nanti bekerja dengan ahli-ahli negarawan, katanya. Buku itu juga mencatitkan mengenai "mukjizat" yang dialami oleh Yeoh, kata Kamarul.
"Semua kisah-kisahnya secara tidak sengaja memberi inspirasi kepada pembaca-pembacanya, termasuk saya, untuk mengkagumi Tuhannya."
Dan oleh kerana buku-bukunya mudah didapati oleh orang-orang awam, Kamarul berkata Yeoh
mungkin melanggar undang-undang di bawah Seksyen 4 (1) (a) Enakmen Kawalan dan
Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988.
"Enakmen ini menyatakan ‘Seseorang adalah
melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain
yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan
Islam atau supaya cenderong kepada agama itu’," kata Kamarul.
Beliau menambah Yeoh mungkin juga melanggar Seksyen 298 (A)
(1) Kanun Keseksaan kerana cuba memecahbelahkan keharmonian negara ini dengan
menggunakan alasan agama.
Kamarul juga menyenaraikan pelbagai halaman daripada
autobiografi Yeoh, “Becoming Hannah: A Personel Journey” sebagai cubaan menukar
penganut Islam kepada Kristian dan menggesa polis menyiasat.
Yeoh berkata, tiada agenda rahsia di dalam bukunya yang
pra-pelancaran dilakukan pada 2014 dan pelancaran rasmi pada Januari 2015.
Buku ini boleh dibeli dalam talian dan boleh didapati di
kedai buku utama seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times. – 17 Mei, 2017.
(Terjemahan dari artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Lecturer Lodges Police Report Against Hannah Yeoh For Proselytising To Muslims" yang ditulis oleh Low Han Shaun bertarikh 17 Mei 2017)