Sabtu, 10 Jun 2017

Baru Bian Tidak Terkejut Menjadi Sasaran Baru Pensyarah UUM


KUCHING: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri, Baru Bian tidak terkejut bahawa pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Yusoff telah mula menjadikannya sasaran.

Kamarul, yang baru-baru ini cuba memburukkan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dengan menggelarkan biografinya “Becoming Hannah” propaganda Kristian, kini sedang menyelar Baru kerana mengatakan bahawa “All Borneo Revival Convocation 2017” bukan bersifat politik.

Baru, yang merupakan ahli dewan undangan negeri untuk Ba Kelalan, telah menyifatkan tindakan Kamarul itu, “adalah didorong oleh niat politik dan disebabkan oleh kurang mengetahui.”

Kamarul juga mendakwa bahawa buku Baru, “Long Awakening” telah menunjukkan bahawa Baru mencampuri agamanya dengan politik, dan juga mempersoalkan samada pendirian Baru adalah juga pendirian kepimpinan pusat PKR.

Satu perhimpunan yang serupa di Melaka yang digelar “Jerusalem Jubilee” telah dibatalkan baru-baru ini selepas aduan bahawa ianya berkaitan dengan Zionisme.

Menurut Baru, Kamarul gagal memahami bahawa oleh kerana Kekristianan berasal dari Timur Tengah – Bible – dari buku Kejadian hingga Wahyu – adalah penuh dengan rujukan bersejarah dari rantau itu.

“Betlehem, Yerusalem, Yudea, Galilea, adalah di antara tempat-tempat yang disebut. Hakikat bahawa orang-orang Kristian berkata mengenai dan membaca mengenai tempat-tempat itu dari Bible tidak menjadikan kami Zionis ataupun pengkhianat kepada Negara.

“Orang-orang Kristian masa kini menggunakan beberapa nama tempat sebagai perlambangan rohani – sebagai contohnya, ‘Yerusalem Baru’ bererti syurga. Kamarul tidak mempunyai pemahaman maksud rohani istilah Kristian kami,” Baru berkata dalam satu kenyataan akhbar semalam.     

Mengenai kebaktian kebangunan rohani itu, Baru mempersoalkan pilihan waktu untuk bantahan-bantahan itu sebab perhimpunan-perhimpunan itu bukanlah baru.

“Ianya telah diadakan selama yang dapat saya ingat, dan sebelum saya dilahirkan lagi. Tiada sesiapapun yang mempunyai masalah dengannya sebelum ini, jadi kenapa menimbulkannya kini? Jika ada sesuatu yang bertentangan undang-undang, pihak berkuasa tentu saja dapat mendakwa kami,” katanya.     

Baru menerangkan bahawa kebaktian kebangunan rohani adalah sebahagian daripada aktiivti gereja, di mana umat Kristian didorong untuk mentaati ajaran-ajaran kepercayaan mereka, yang sebahagian besarnya berkenaan menjadi warganegara yang baik.  

“Umat Kristian berdoa untuk Yang di-Pertuan Agung, Sultan-Sultan, Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, dan semua pemimpin negara, agar mereka mempunyai hikmat untuk mentadbir negara, agar mereka adil dan saksama, dan agar mereka menolak rasuah.

“Dalam setiap perhimpunan, kami berdoa untuk rakyat dan Negara. Tidak ada percakapan mengenai politik, untuk menghasut orang memberontak terhadap kerajaan atau mendorong mereka mengubah agama orang-orang Muslim. Bagaimanakah itu dianggap tidak patriotik?” katanya. 

Baru berkata bahawa dia tidak akan membalas tindakan Kamarul.

“Oleh itu, walau apa pun yang dikatakannya terhadap saya, saya hanya dapat mengasihinya sebagai seorang saudara dan berdoa untuknya, dalam mentaati Firman Tuhan” katanya.

Dia menyeru kepada Kamarul untuk berhenti menciptakan agenda Kristian yang tidak wujud, kerana ianya adalah tidak bijak untuk menimbulkan pepecahan di antara umat yang berbeza iman.    

Hannah Yeoh telah membuat laporan kepada polis sebagai respons kepada catitan Facebook Kamarul terhadap Yeoh, yang menyebabkan Kamarul membuat laporannya sendiri kepada polis yang mendakwa bahawa buku Yeoh cuba “merayu, mempengaruhi dan menghasut” orang-orang bukan Kristian untuk memeluk agama itu atau memandang baik terhadap ajaran-ajarannya.

(Diterjemah daripada artikel Borneo Post bertajuk, "Baru Not Surprised To Be UUM Lectuter's New Target" bertarikh 9 Jun 2017)