PETALING JAYA: Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata,
Kamarul Zaman Yusuff cuba menimbulkan kebencian antara umat Islam dan penganut
Kristian, selepas pensyarah kontroversi itu menyerangnya berhubung satu acara
gereja di negeri itu.
Selepas mendakwa Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor,
Hannah Yeoh cuba menyebarkan ajaran Kristian menerusi buku biografinya,
pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu kini menyasarkan Baru yang
mendakwa acara gereja bertemakan “perhimpunan kebangkitan” (revival
convocation) ialah acara keagamaan yang tiada kena-mengena dengan politik.
Ia selepas salah sebuah perhimpunan seumpama itu di Miri
dibatalkan penganjur, ekoran pembatalan perhimpunan bertemakan “Jerusalem
Jubilee” di Melaka selepas bantahan mengaitkannya dengan Zionisme.
Kamarul mempertikaikan hujah Baru yang perhimpunan itu
mengundang kontroversi disebabkan penggunaan istilah “Jerusalem” atau Baitul
Maqdis, tanah suci 3 agama yang menjadi titik konflik Israel dan Palestin.
Baru menepis dakwaan Kamarul dengan berkata, acara yang
dianjurkan sejak sekian lama itu tiada kaitan dengan politik.
“Kami tak sentuh politik. Kami tidak meminta orang melawan
kerajaan dan sudah pasti kami tidak cuba menukar agama sesiapa pun,” katanya
kepada FMT hari ini sambil menambah acara itu hanya untuk orang bukan Islam.
Baru percaya dakwaan yang dilemparkan terhadap acara itu
disebabkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin dekat dan mengingatkan
Kamarul supaya tidak menyemarakkan sentimen agama.
Beliau berkata, pendiriannya berhubung perkara itu juga
tiada kaitan dengan pucuk pimpinan PKR kerana isu itu tiada kena-mengena dengan
politik.
“Jika Kamarul nak tahu, semua yang kami buat di ‘All Borneo
Revival Convocation’ ialah mengingatkan penganut Kristian terhadap ajaran Bible
untuk menjadi anggota masyarakat yang baik dan bertanggungjawab.
“Kami ingatkan mereka supaya telus dan tidak merasuah. Kami
juga berdoa untuk semua pemimpin kami, daripada wakil rakyat kepada Yang
di-Pertuan Agong. Apa salahnya?”
Baru berkata, jika acara itu atau penganjurnya melanggar undang-undang, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap mereka.
“Jika kami melanggar sebarang undang-undang, sila dakwa
kami. Tetapi, sebenarnya tiada apa yang salah dengan acara itu. Ia seperti
acara lain dianjurkan gereja, di mana kami bercakap mengenai ajaran Bible.
“Dan Jesus mengajar kami untuk saling mengasihi, termasuk
musuh kami. Jadi, walaupun Kamarul menyerang saya, saya nak dia tahu yang saya
masih sayang dia, tidak kira apa yang dia kata,” katanya yang berharap Kamarul
dapat memahami matlamat sebenar penganjuran acara itu.
Kamarul dilaporkan berkata, Baru meraikan “orang Israel”
dalam bukunya “Long Awakening” dan isi kandungannya membuktikan semangat agama
pemimpin PKR itu dicampuri politik.
Beliau memetik halaman 243 buku itu yang menceritakan
pengalaman Pilihan Raya Umum pada 2013 yang diterjemahkan seperti berikut: “Ia
adalah kebangkitan panjang untuk Sarawak. Saya diingatkan mengenai Exodus 23:14,
di mana Tuhan memberi jaminan kepada orang-orang Israel, bumi yang dijanjikan
akan diberikan kepada mereka sedikit demi sedikit, secubit demi secubit.
“Ada sebab bagus ini bukan untuk kemenangan besar segera.
Banyak perkara Israel perlu belajar untuk menjadi sebuah negara. Saya beritahu
diri saya, mesti ada sebab-sebab mengapa perubahan politik berlaku
perlahan-lahan, bukan mengejut.”
Kamarul sebelum ini terlibat dalam pertikaian dengan Yeoh
selepas menyifatkan biografi adun DAP Subang Jaya itu, “Becoming Hannah”
sebagai propaganda Kristian.
Yeoh kemudiannya membuat laporan polis berhubung komen
Kamarul di Facebooknya. Ia kemudiannya dibalas dengan laporan polis Kamarul
yang mendakwa buku itu cuba “memujuk, mempengaruhi atau menghasut” orang bukan
Kristian supaya menjadi penganut atau cenderong kepada ajaran Kristian.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Pengerusi PKR Sarawak "Sayang Musuh" Walau Diserang Pensyarah UUM" yang ditulis oleh Robin Augustin bertarikh 8 Jun 2017)