Ahad, 18 Jun 2017

Jangan Izinkan Kumpulan Seperti Centhra Bangkitkan Kebencian, Menteri Menggesa Rakyat Malaysia


KUALA LUMPUR, 17 Jun - Seorang menteri kabinet menggesa rakyat Malaysia hari ini agar tidak mengizinkan negara ini dipecah-belahkan oleh kumpulan-kumpulan pinggiran seperti Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra).

Menurut Tan Sri Joseph Kurup, kumpulan-kumpulan seperti Centhra yang baru-baru ini mengusulkan "undang-undang anti-evangelicalisme", sedang membangkitkan kebencian dan saling tidak percaya di sekitar negara untuk kepentingan mereka sendiri. 

"Kita harus terus membina dan membangunkan Malaysia menjadi masyarakat yang modern, diberkati dengan budaya dan kepelbagaian kita yang unik untuk lebih mengukuhkan lagi kisah kejayaan kita.

"Kita tidak harus sekalipun mengizinkan kumpulan-kumpulan pinggiran untuk mengambilalih agenda nasional kita dengan cara membangkitkan kebencian dan saling tidak percaya untuk kepentingan mereka sendiri," begitu dinyatakan oleh Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan.

Kurup juga menyelar Centhra atas tindakannya yang "menjijikkan" itu, dengan mencadangkan idea yang "tidak sihat" semasa bulan suci Ramadan Muslim. 

"Saya mengecam Centhra atas idea itu. Kumpulan-kumpulan idea dan advokasi seperti inilah yang mempercepatkan peleraian ikatan sosial kita yang telah menyatukan negara kita yang penuh kepelbagaian sejak Merdeka," katanya.

Dia juga menuduh kumpulan itu bertindak bertentangan prinsip wasatiyyah, atau kesederhanaan yang dipegang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Akhbar harian Utusan Malaysia yang dimiliki Umno telah menerbitkan pada hari Khamis sebuah esei oleh ketua eksekutif Centhra, Azri Mohd Amin, yang menggesa diadakan "undang-undang anti-evangelicalisme" yang mengharamkan evangelisme Kristian di negara ini.

Azri mendakwa bahawa "evangelicalisme", yang dikatakannya, "telah memunculkan sikap beragama baharu yang cenderung terhadap positivisme, kebebasan yang tanpa batas dan kecenderungan terhadap keterbukaan tanpa kawalan" sedang dengan serius mengancam keharmornian di kalangan agama di Malaysia. 

Evangelisme dalam konteks Kristian adalah aktiviti yang secara umumnya merujuk kepada penyebaran Injil. 

Evangelicalisme pula, adalah satu pergerakan yang lahir dari aliran Protestan dengan kepercayaan utama yang khusus yang dikatakan berbeza dengan arus perdana Protestan; salah satunya adalah kepercayaan pada "penerimaan Tuhan secara peribadi."

Telah didakwa bahawa gereja-gereja evangelical adalah yang paling aktif dan dikatakan menjalankan kempen penyebaran agama dengan sokongan kewangan yang baik di sekeliling dunia.  

(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Don't Allow Fringe Groups Like Centhra Fan Hatred, Minister Urges Malaysians" bertarikh 17 Jun 2017)